Tiba di Malaysia, hanya dua dirawat di hospital akibat Covid-19


Ismail Sabri berkata, 454 rakyat Malaysia tiba dari Indonesia, Iran, Iraq, Singapura, UAE, Taiwan, Jepun, Vietnam, Myanmar, Qatar dan Belanda pada hari Sabtu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2020.

HANYA dua individu dihantar ke hospital akibat Covid-19 setelah tiba dari luar negara semalam, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, 454 rakyat Malaysia tiba dari Indonesia, Iran, Iraq, Singapura, UAE, Taiwan, Jepun, Vietnam, Myanmar, Qatar dan Belanda pada hari Sabtu.

“452 dibenarkan pulang dan kuarantin diri. Hanya dua orang yang dihantar ke hospital untuk dirawat sebagai pesakit Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri menambah bahawa dari 10 Jun hingga 27 Jun, 6,609 rakyat Malaysia telah kembali melalui KLIA dan dari angka tersebut, 6,573 orang diuji negatif Covid-19.

“Hanya 36 individu yang didapati positif dan dihantar ke hospital untuk rawatan.”

“Polis telah membuat 427 pemeriksaan rumah terhadap mereka yang dikuarantin di rumah. Semua patuhi SOP,” tambahnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata bahawa kementerian telah mengesan 610 jangkitan Covid-19 di kalangan mereka yang memasuki negara ini pada 25 Jun.

Katanya, angka itu termasuk rakyat Malaysia, penduduk tetap dan mereka yang dibenarkan pulang ke negara ini untuk bekerja.

“Pada 25 Jun, 61,576 orang telah kembali ke negara ini dan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan. – 28 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen