Kerajaan harus fleksibel berhubung pembekuan pekerja asing, kata majikan


Ragananthini Vethasalam

Kerajaan harus lebih fleksibel dan membenarkan syarikat-syarikat ini membawa masuk pekerja yang telah dibenarkan masuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2020.

SYARIKAT-syarikat yang diberi kebenaran untuk mengambil pekerja asing sebelum pembekuan pengambilan baharu harus diberikan kelonggaran, kata kumpulan majikan.

Kerajaan harus lebih fleksibel dan membenarkan syarikat-syarikat ini membawa masuk pekerja yang telah dibenarkan masuk, kata mereka.

Jika tidak, kerajaan harus mempertimbang untuk membayar balik kepada majikan yuran yang dikeluarkan untuk merekrut pekerja asing, kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan.

“Jika itu tidak dibolehkan, mereka yang telah diberi pengesahan harus diizinkan dibawa masuk,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Shamsuddin memberikan respons beliau terhadap kenyataan Menteri Sumber Manusia M Saravanan baru-baru ini bahawa pengambilan pekerja asing akan dibekukan sehingga akhir tahun ini supaya pekerjaan dapat diberikan kepada penduduk tempatan.

Penyelesaian lain pula adalah dengan memberikan penangguhan automatik bagi pas kerja, kerana majikan harus menunggu sekurang-kurangnya enam bulan lagi sebelum larangan itu ditarik semula, kata Shamsuddin.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata pembekuan itu tidak sepatutnya dilaksanakan terhadap syarikat yang permohonannya sudah diproses.

“Membekukan pengambilan pekerja asing tidak akan menyelesaikan masalah pekerjaan, kita memerlukan sistem pengurusan jangka panjang yang holistik untuk pekerja asing,” kata Soh.

Usahawan keluli itu mengatakan bahawa jumlah tenaga kerja di sektor pembuatan berjumlah di antara 2.4 juta hingga 3 juta, di mana 700,000 daripada mereka adalah pekerja asing.

Bagaimanapun, beliau turut berkata bahawa persekutuan menyedari kadar pengangguran di negara ini dan akan memastikan bahawa kekosongan jawatan pekerja mahir, pengurusan atasan dan menengah diisi oleh rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, pekerja asing biasanya diupah untuk mengisi kekosongan untuk pekerjaan peringkat operator, yang menurutnya, agak sukar bagi majikan untuk mengisinya dengan penduduk tempatan kerana sifat pekerjaan dan jangkaan tinggi.

“Walaupun menawarkan upah yang lebih tinggi, majikan terus menghadapi ketidakhadiran yang tinggi di kalangan pekerja tempatan, mereka mahu  persekitaran kerja yang lebih baik dan bersih dan keengganan mereka untuk bekerja secara pertukaran dan kerja lebih masa,” kata Soh.

Pengumuman Saravanan mengenai pembekuan itu dianggap tergesa-gesa dan akan menimbulkan masalah kepada majikan yang perlu mengganti pekerja yang akan kembali ke negara asalnya, dan mereka yang terpaksa memperluas kapasiti pengeluaran mereka untuk memenuhi pesanan barang-barang tertentu seperti peralatan pelindung diri (PPE) yang menyaksikan lonjakan permintaan.

Kadar pengangguran Malaysia berada pada 5% pada April 2020, ia adalah kadar paling tinggi negara sejak tahun 1990. Jumlah pengangguran juga meningkat tahun ke tahun sebanyak 48.8% kepada 778,800. – 28 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen