PILIHAN Raya Kecil (PRK) Chini akan membuktikan Barisan Nasional kekal relevan walaupun kini bekerjasama dengan Perikatan Nasional, kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
“Dulu selepas PRU-14, seolah-olah lambang dacing tidak relevan tapi lima PRK lalu menunjukkan lambang dacing masih terus diterima rakyat.
“PRK Chini adalah PRK pertama selepas penubuhan PN dan inilah ujian pertama untuk memperlihatkan BN masih diterima rakyat dan kerana itu lambang dacing terus diguna,” katanya pada satu majlis di Chini, malam tadi.
Zahid yang juga presiden Umno menambah, yang PRK itu adalah manifestasi terbaru BN bersama PN.
Katanya, walaupun PN masih belum didaftarkan secara rasmi, semangatnya jelas wujud dalam kejayaan PRK sebelum ini.
“PRK Chini adalah PRK keenam yang dilalui oleh BN namun PRK ini adalah satu manifestasi kerana ia adalah pertama kali BN bersama PN mengenengahkan calon BN.
“Sebelum ini menang atas Muafakat Nasional dan penyatuan ummah tetapi kali ini kita melihat bahawa PN walaupun belum berdaftar secara rasminya namun semangat PN diterjemahkan sebagai kesinambungan kejayaan PRK yang lalu,” katanya.
Menyentuh calon BN untuk PRK Chini, Mohd Sharim Md Zain, Zahid berkata BN meletakkan anak Felda kerana bukan sahaja manifestasi mengutamakan peneroka Felda tetapi juga pengundi kampung, Orang Asli dan anak muda.
“Saya yakin beliau bukan hanya dapat membawa isu rakyat namun suara anak muda juga,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan pula berkata selama 60 tahun, Umno tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.
Jelasnya, ini terbukti dalam PRK Tanjung Piai apabila BN meletakkan calon bukan Melayu daripada MCA walaupun kawasan itu adalah majoriti Melayu dan berjaya menang.
“Selama lebih daripada 60 tahun Umno tak pernah mengabaikan sesiapa. Semua fitnah tentang Umno dan PAS (didakwa) cuba bentuk negara Melayu Islam adalah tidak benar.
“Di Tanjung Piai kita letakkan calon bukan Melayu di kerusi Melayu. Kita menang. Kita tak pernah rasis kepada sesiapa. Baik Umno atau PAS,” katanya.
SPRN mengumumkan hari penamaan calon PRK Chini pada 20 Jun, pengundian awal pada 30 Jun dan pengundian pada 4 Julai.
PRK Chini diadakan selepas penyandangnya, Abu Bakar Harun, meninggal dunia kerana serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur, 6 Mei lalu.
Pada PRU 2018, Abu Bakar meraih 10,027 undi untuk muncul pemenang dengan majoriti 4,622 berbanding calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR yang hanya meraih 1,065 undi. – 28 Jun, 2020.
Komen