Usul PM singkir speaker, timbalan speaker langgar perlembagaan, kata bekas menteri


Muhyiddin Yassin menghantar usul menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof (gambar) dan Timbalan Speaker Nga Kor Ming. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin melanggar doktrin pemisahan kuasa dalam usahanya cuba menyingkirkan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat, kata bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong.

Katanya, usul yang tidak pernah dibuat sebelum ini adalah campur tangan cabang Eksekutif dalam urusan cabang Legislatif negara.

“Doktrin pemisahan kuasa dengan jelas menyatakan yang Eksekutif (Kerajaan), Legislatif (Parlimen) dan Kehakiman (Mahkamah) adalah tiga organ berbeza negara yang bebas antara satu sama lain.

“Satu organ tidak boleh dengan mudah masuk campur urusan (organ) lain. Malaysia mengamalkan doktrin ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu juga berkata sekiranya mana-mana satu organ masuk campur urusan organ lain, ia adalah tindakan yang tidak mengikut perlembagaan.

Tindakan Muhyiddin, kata Liew, adalah pelanggaran terang-terangan dan pengabaian doktrin pemisahan kuasa yang merupakan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mempersoalkan masa usul menyingkirkan Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming dibuat, yang disifatkan Liew sebagai usaha Muhyiddin mengelak usul tidak percaya terhadapnya dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Bagi memastikan beliau dapat mengelak usul tidak percaya terhadapnya sebagai perdana menteri di Parlimen, beliau menggunakan kapasitinya sebagai perdana menteri untuk menyingkirkan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat,” kata Liew.

Disebabkan itu, jelas Liew, usul dicadangkan Muhyiddin adalah berniat jahat demi kepentingan peribadinya.

“Ia tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan, melanggar doktrin pemisahan kuasa dan tidak boleh diterima,” katanya.

Tambah Liew lagi, tidak ada sebab untuk menyingkirkan Ariff dan Nga, kerana kedua-duanya menjalankan tugas dengan profesional.

Ini terbukti apabila ahli Parlimen pertama yang diarah keluar dewan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 adalah wakil rakyat kerajaan Pakatan Harapan, kata Liew.

“Tidak ada ruang berat sebelah. Tan Sri Dato’ Ariff sendiri adalah hakim Mahkamah Rayuan yang terbukti bebas. Apa yang perdana menteri hendak takutkan?” soalnya lagi.

Liew mendesak Muhyiddin memberikan penjelasan mengapa usul itu yang merupakan campur tangan urusan Parlimen kepada seluruh rakyat Malaysia dengan segera.

“Beliau bukan tidak boleh dipersoal. Beliau juga bukan mengatasi Perlembagaan Persekutuan. Beliau perlu dipertanggungjawabkan,” tambah Liew.

Usul Muhyiddin untuk menggantikan Ariff dan Nga akan dibentangkan pada hari pertama sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai.

Seorang lagi timbalan speaker, Ahli Parlimen Batu Pahat Rashid Hasnon, tidak termasuk dalam usul itu.

Muhyiddin juga berdepan usul tidak percaya yang akan dibentangkan Dr Mahathir Mohamad.

Rakan politik Perikatan Nasional, PAS, juga sudah menghantar usul percaya kepimpinan Muhyiddin untuk dibentangkan. – 28 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen