WALAUPUN sudah meletak jawatan daripada memegang sebarang jawatan awam empat tahun lalu, bekas Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud masih belum dilupakan, sekurang-kurangnya untuk seorang aktivis alam sekitar yang mahu memastikan “Raja Putih” itu dipertanggungjawabkan kerana didakwa menyeleweng berbilion ringgit ketika pentadbirannya.
Dr Luka Straumann adalah pengarah eksekutif kumpulan pemantau alam sekitar berpangkalan di Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF) dan sudah menghabiskan berdekad lamanya untuk cuba menjejak dan menyakinkan pihak berkuasa Malaysia dan antarabangsa supaya menyiasat kekayaan luar biasa keluarga Taib.
Pada 2012, selepas bertahun menyiasat, BMF mengeluarkan laporan menggemparkan yang menganggarkan kekayaan keluarga Taib bernilai AS$21 bilion (RM86 bilion) bertebaran di seluruh dunia.
Dalam laporan itu, keluarga Taib dikaitkan dengan hartanah di Amerika Syarikat, Kanada, UK dan Australia serta memegang kepentingan dalam lebih 400 buah syarikat di 25 buah negara.
Kekayaan itu, dakwa Straumann dan ramai rakan sekerjanya, adalah hasil pembalakan haram tidak mandiri, dan usahanya tertumpu untuk menyakinkan pendakwa raya antarabangsa untuk menyiasat dakwaan itu supaya wang itu boleh dikembalikan kepada Sarawak.
“Taib sangat bijak. Dia tak letakkan ‘semua telur dalam satu bakul.’ Dia pergi ke tempat berbeza yang dijadikan kawasan selamat untuk simpan duitnya.
“Dia beli Hotel Hilton di Adelaide (Australia) bernilai AS$15 juta hari ini. Sakto di Kanada, mungkin bernilai AS$200 juta.
“Bangunan FBI di Seattle yang bernilai AS$15 juta kini. Hartanah mewah di London.
“Kami cuba dapatkan bantuan perundangan negara terbabit untuk membekukan aset ini,” katanya.
Sikap lemah lembut Straumann tidak mampu menidakkan kesungguhannya menjejak kekayaan Taib, menyebabkan ada pihak mendakwa beliau menyimpan dendam kesumat peribadi kepada Yang di-Pertua Sarawak itu.
Ia adalah tuduhan yang dinafikannya, menegaskan yang beliau hanya didorong untuk mencari keadilan untuk rakyat Sarawak.
“Kami sering dituduh penentang kerajaan.
“Saya fikir yang paling penting untuk dilihat adalah kami menentang dasar tertentu dan korupsi yang berlaku, kami tak lawan orang tertentu kerana diri mereka,” kata Straumann kepada The Malaysian Insight.
Pakar sejarah dan bekas wartawan itu mengatakan organisasi berpangkalan di Switzerland itu, BMF mampu mengakses maklumat dan mengeluarkan dokumen yang sukar dilakukan kumpulan berpangkalan di Malaysia.
“Taib masih lagi seorang gabenor. Tiada siapa mahu sentuh dia. Ramai orang takut.
“Ada juga orang yang terkait kerana mereka membantunya. Jadi lebih mudah untuk kami dari luar. Kami ada lebih banyak akses maklumat. Kami tidak hidup dalam sistem politik ini,” katanya.
Taib adalah ketua menteri Sarawak selama 33 tahun. Selepas berundur pada Febuari 2014, dia dilantik menjadi Yang di-Pertua Sarawak.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan ke atas Taib pada 2011 tetapi sehingga kini masih belum menampakkan hasilnya.
Menjawab tuduhan yang kekayaannya dikumpul melalui pemberian konsensi pembalakan haram, Taib mendakwa keluarganya memperolehi kekayaan menerusi kebijaksanaan anak perempuannya, Jamilah Taib Murray dalam perniagaan.
Dalam wawancara ekslusif dengan The Malaysian Insight, Straumann bercakap tentang usaha terbaru BMF untuk menyakinkan pihak penyiasat antarabangsa supaya menyiasat kekayaan keluarga Taib.
TMI: Bolehkan awak berkongsi tentang apa yang berlaku selepas buku awak diterbitkan pada 2014?
Straumann: Buku itu mengupas tentang hubungan pembalakan haram tidak mandiri dan wang yang dibawa keluar dari negara ini. Ia sangat terkesan kalau awak pergi tengok konsensi balak di Borneo. Awak akan nampak deretan lori penuh balak keluar. Jika awak fikir pembalakan dalam konteks wang, banyak wang dibawa keluar. Soalnya, di mana wang itu?
Tugas kami adalah untuk menjejak wang itu. Jadi kami habiskan banyak masa menyiasat keluarga Taib. Kami jumpa hartanah di miliki mereka di Kanada, England, Australia dan AS bernilai ratusan juta.
Kami menulis kepada kerajaan dan meminta mereka membuka siasatan jenayah atau membekukan wang itu dan membawanya kembali ke Malaysia. Kemudian kami dapati kerajaan asing atau pendakwa raya awam di negara tersebut tak buat apa-apa.
Sama ada mereka tak berminat, atau mereka kata tak ada bukti cukup atau mereka tak ada sumber untuk lakukan siasatan.
Seperti di London, pusat kewangan terbesar di Eropah, kami failkan satu laporan polis pada 2014 terhadap anak syarikat yang terbukti ada kaitan dengan keluarga Taib. Agensi Jenayah Nasional kata mereka tak boleh buat apa-apa pada peringkat ini.
TMI: Mengapa awak rasa ini berlaku?
Straumann: Kami tak tahu mengapa. [Tetapi] salah satu sebab adalah kerana Malaysia tak beri kerjasama, mereka tak boleh dapat bantuan perundangan bersama dari negara asal kes.
Kita tahu misalnya Peguam Negara Switzerland memohon bantuan perundangan dari Malaysia dalam kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) tetapi Malaysia tak beri bantuan perundangan itu.
TMI: Sudahkah awak cuba hubungi SPRM?
Straumann: Kami pernah hantar surat kepada mereka pada 2011. Kami hantar surat kepada SPRM, ketua polis negara dan peguam negara, berkongsi maklumat yang kami ada tentang keluarga Taib dan meminta mereka menahan keluarga Taib atas dakwaan konspirasi jenayah. Mereka tak balas.
TMI: Ada tindakan susulan selepas 2011 dengan pihak berkuasa Malaysia?
Straumann: Kami tak buat tindakan susulan di Malaysia kerana kami menyedari yang mereka tak berminat. Institusi tersebut tidak bebas di Malaysia untuk mengendalikan kes sensitif politik.
Kerana itu kami putuskan untuk pergi ke negara yang wang itu dipindahkan. Perundangan anti korupsi dan rampasan aset sudah bertambah baik berbanding 10,15 tahun lepas.
Kami masih cuba mendapatkan bantuan perundangan di negara tersebut bagi membekukan aset (keluarga Taib).
Kami dapati kemudian ada kaedah dipanggil pendakwaan persendirian. Jika negara gagal mendakwa jenayah, anda boleh tampil selaku warga persendirian atau institusi untuk membantu pendakwa raya awam.
Kami sudah membuktikan melampaui keraguan yang wang itu dipindahkan dan digunakan secara haram di Kanada, wang yang dicuri oleh pegawai korup. Kami memfailkan kes mahkamah di Kanada Julai lepas. Litigasi sedang berjalan. BMF dan penduduk Sarawak yang tinggal di Kanada adalah plantif.
TMI: Pernah putus asa?
Straumann: Ya, sudah tentu, apabila pertama kali saya dengar tentang 12 empangan sedang dirancang untuk dibina. Pertama mereka buat pembalakan, kemudian perladangan dan sekarang mereka nak tenggelamkan semuanya. Itu adalah saat yang memedihkan.
Kemudian awak sedar yang masyarakat boleh buat sesuatu. Ia adalah kejayaan besar untuk masyarakat dan pergerakan alam sekitar apabila mereka berjaya menghentikan projek empangan itu. Ia berbaloi untuk terus berjuang.
Beberapa ketua kampung yang sudah berusia beritahu saya yang berbaloi menentang. Penentangan sudah buahkan hasil. – 3 Disember, 2017.
Komen