AMERIKA Syarikat semalam melepasi angka 2.5 juta kes Covid-19, menurut data dikeluarkan Johns Hopkins University, ketika negara kuasa besar dunia itu terus bergelut dengan lonjakan kes jangkitan di beberapa negeri.
Terdapat 2,500,419 kes Covid-19 di seluruh AS, menurut universiti itu setakat jam 5.30 pm (2130 GMT).
Jumlah kematian AS kini melepasi 125,000, membentuk hampir satu perempat daripada jumlah korban seluruh dunia yang kini mencecah 495,000.
Florida semalam melaporkan lonjakan kes jangkitan baharu sebanyak 9,585 kes dalam tempoh 24 jam. Pembukaan semula ekonomi di negeri itu menyaksikan penduduknya memenuhi pantai, jalan raya dan bar.
Ia antara lebih separuh negeri di AS yang menyaksikan lonjakan kes Covid-19, kesan buruk pembukaan sepenuhnya banyak sektor sedangkan wabak masih belum terkawal.
Texas dan Florida, kedua-duanya mempunyai gabenor Republikan yang enggan meneruskan perintah berkurung, mengumumkan sekatan terbaru ke atas bar. – AFP, 28 Jun, 2020.
Komen