Indira Gandhi hantar surat ketiga kepada KPN


Noel Achariam

Indira Gandhi sehingga kini masih tidak berjumpa dengan anak perempuannya yang dilarikan bekas suaminya walaupun mahkamah sudah memihak kepadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2020.

M Indira Gandhi sudah menghantar surat ketiga kepada Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memohon untuk berjumpa bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai anak perempuannya yang sudah tidak dilihatnya lebih sedekad lalu.

Surat terbaru itu dihantar pada Isnin, meminta pertemuan diadakan. Ia dibuat selepas Hamid menjanjikan “happy ending” untuk bekas guru tadika itu yang sudah lama berjuang untuk disatukan dengan anak perempuannya, Prasana Diksa.

Indira memberitahu The Malaysian Insight yang Hamid perlu memenuhi janjinya, menambah yang beliau berharap dapat berjumpa dengan KPN secepat mungkin.

“Kami berharap dia setuju berjumpa kami. Kami hendak jumpa dia selepas berakhirnya tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP),” katanya.

Januari lalu, Hamid berkata polis mempergiatkan usaha mereka mengesan gadis itu yang dikatakan bersama ayahnya.

Beliau juga menegaskan yang beliau memberi perhatian khas kepada kes itu menjanjikan “happy ending” untuk Indira.

“Saya beri jaminan kepada rakyat Malaysia yang semua ini akan baik-baik sahaja. Saya mahu ‘happy ending’ untuk semua- emak, ayah dan gadis itu.

Indira berkata mereka masih tidak mengetahui tentang keadaan sebenar Prasana.

“Saya tak ada butiran mengenainya. Saya harap dia sihat.”

Pengerusi Pasukan Tindakan Indiran Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy berkata mereka sekali lagi menghantar surat memohon pertemuan dengan Hamid pada Isnin lalu.

“KPN (Hamid) kata akan ada ‘happy ending’. Kami memang tunggu semuanya berakhir dengan gembira.

“Sejak Jun tahun lepas kami minta pertemuan diadakan. Kami hantar tiga surat dan kami harap dia akan dapat jumpa kami,” katanya.

Tambahnya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) juga cuba membantu mereka mengadakan pertemuan dengan KPN.

Indira mahu Hamid bertindak ke atas arahan mandamus dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2014 kepada KPN untuk menguatkuasakan waran tangkap ke atas bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah dan arahan pengambilan semula anaknya, Prasana.

Riduan mengambil Prasana yang ketika itu masih bayi dan menukar tiga agama anaknya kepada Islam tanpa kebenaran bersama Indira.

Beliau kini dianggap melanggar arahan mahkamah yang memerintahkan beliau memulangkan semula Prasana kepada emaknya.

Walaupun mahkamah sudah memberikan hak penjagaan tiga anak selepas memutuskan penukaran agama itu tidak sah, Indira masih belum berjumpa dengan Prasana yang sehingga kini masih tidak diketahui keberadaannya. – 28 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen