Pelajar Orang Asli akan ketinggalan apabila sekolah buka semula, kata aktivis


Noel Achariam

Dilaporkan bahawa terdapat 26,126 murid Orang Asli di sekolah rendah dan 11,419 pelajar di sekolah menengah pada tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2020.

KIRA-KIRA 60% pelajar Orang Asli di Semenanjung Malaysia bakal terjejas akibat tidak mempunyai akses pembelajaran secara dalam talian ekoran penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asli, Centre for Orang Asli Concerns (COAC)  memberitahu The Malaysian Insight bahawa isu ini menjadi kebimbangan pelajar yang kebanyakannya tinggal di kawasan pendalaman dan luar bandar.

Pengarah eksekutif COAC Colin Nicholas berkata disebabkan tidak mendapat akses pembelajaran, mereka akan ketinggalan jauh dalam pelajaran apabila sekolah dibuka semula.

“Ini boleh dibandingkan dengan pelajar yang tinggal di kawasan bandar yang proses pembelajaran mereka berterusan.

“Ia boleh menyebabkan anak-anak Orang Asli berdepan kesukaran untuk mengikuti semula pembelajaran apabila sekolah dibuka semula dan mereka mungkin akan meninggalkan persekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dilaporkan bahawa terdapat 26,126 murid Orang Asli di sekolah rendah dan 11,419 pelajar di sekolah menengah pada tahun lalu.

Sejak PKP bermula pada Mac, sekolah ditutup dan guru memulakan pembelajaran secara dalam talian.

Pelajar Tingkatan Lima dan Enam memulakan persekolahan bermula 24 Jun selepas negara memasuki fasa pemulihan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan masih belum mengumumkan penyambungan semula sesi persekolah bagi pelajar lain.

Nicholas berkata walaupun murid Orang Asli mahu belajar atau membuat kerja sekolah, ada kalangan mereka tidak mempunyai akses komputer dan mencetak bahan pembelajaran.

“Ini tidak bermakna walaupun tinggal jauh di pendalaman, mereka tidak mempunyai rangkaian.

“Ada kawasan masih mempunyai akses Internet, tetapi mereka tidak mempunyai peralatan seperti komputer dan telefon bimbit untuk belajar dalam talian.

“Perlu ada akses untuk peralatan tersebut dan dana bagi membayar caj bulan Internet.”

Perkampungan Orang Asli tidak mempunyai akses internet yang baik menyukarkan pelajar di situ meneruskan pengajian ketika PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2020.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan perlu memastikan bantuan disediakan kepada pelajar terbabit.

“Bagi pelan jangka masa pendek, mereka perlu memastikan guru bekerja keras apabila sekolah dibuka semula.

“Guru perlu memberi motivasi kepada pelajar untuk mengikut silibus pembelajaran. Mereka mungkin perlu mengadakan kelas ganti.

“Masalah besar adalah untuk sekolah rendah kerana ramai pelajar tidak mempunyai telefon bimbit atau komputer riba dan tidak boleh belajar dalam talian.”

Bagi pelan jangka masa panjang, beliau mencadangan supaya Kementerian Pendidikan membantu pelajar belajar dalam talian dengan menyediakan peralatan yang sewajarnya.

Tiada akses

Amino Angah, jurucakap penduduk Kampung Kelaik, Gua Musang di Kelantan pula memberitahu The Malaysian Insight sejak PKP dilaksanakan, hampir 40 orang pelajar sekolah rendah di situ tidak mempunyai akses kepada sebarang bentuk pendidikan.

“Sejak Mac mereka tidak belajar. Walaupun ada jaringan internet, tetapi perlahan.”

Katanya, sekolah berhampiran pula terletak 25km dari kampung itu dan tidak mempunyai komputer.

“Kami harap agensi berkaitan dapat tengok isu ini.”

Orang Asli di Ulu Geruntum, Gopeng, Perak pula berkata terdapat hampir 70 orang pelajar sekolah rendah yang tidak belajar sejak PKP dilaksanakan.

Salah seorang penduduk di situ, Wah Sona, berkata mereka tidak mempunyai akses internet sehingga menyukarkan guru untuk menghantar bahan pembelajaran.

“Sejak beberapa bulan ini mereka ketinggalan dalam pelajaran.

“Paling penting adalah untuk pelajar yang akan ke sekolah menengah. Mereka perlu ikuti perkembangan dalam pembelajaran.”

PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu untuk mengekang wabak Covid-19 yang kini sudah menjangkiti 8,616 orang di Malaysia dengan 121 kematian. – 28 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen