Ekonomi bertambah buruk jika tak kekang Covid-19, kata pemimpin Iran


Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran bahawa ekonomi negara itu akan bertambah teruk jika penularan wabak Covid-19 gagal dikekang. – Gambar EPA, 27 Jun, 2020.

PEMIMPIN tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran bahawa ekonomi negara itu akan bertambah teruk jika penularan wabak Covid-19 gagal dikekang.

Republik Islam itu gagal membendung virus itu sejak ia mula menular di Qom pada Februari lalu.

Teheran terpaksa menutup perniagaan tidak penting, sekolah dan membatalkan aktiviti awam pada Mac tetapi kerajaan menarik semula sekatan secara berperingkat sejak April bagi memulihkan semula ekonomi negara itu yang turut terkesan dengan sekatan antarabangsa.

“Perlu lakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ekonomi yang terkesan akibat koronavirus.

“Tetapi kecuaian dan penularan mendadak wabak itu akan memburukkan lagi kesan terhadap ekonomi,” kata Ayatollah.

Ekonomi Iran semakin buruk sejak 2018 apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan penarikan diri daripada perjanjian nuklear dengan Teheran dan mengenakan semula sekatan terhadap republik itu.

Setakat 24 jam lalu, sebanyak 2,456 kes baharu Covid-19 direkodkan, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 220,180.

Selain itu 125 kematian juga dicatatkan dalam tempoh yang sama, menjadikan keseluruhan korban 10,364 orang. – AFP, 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen