INDIA kini mempunyai lebih 500,000 kes koronavirus yang disahkan, menurut angka dikeluarkan kerajaan pada Sabtu yang menunjukkan catatan peningkatan harian sebanyak 18,500 jangkitan baharu.
Pihak berkuasa berkata jumlah kematian meningkat kepada 15,685 selepas 385 lagi pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.
Wabak ini dijangka belum tiba kemuncak di India selama beberapa minggu lagi dan para pakar berkata jumlah kes itu boleh melepasi 1 juta sebelum akhir Julai.
Beberapa kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk mengenakan langkah pengurungan baharu selepas negara melaksanakannya pada 25 Mac dan secara beransur-ansur melonggarkannya susulan kesan buruk terhadap ekonomi.
Virus melanda bandar berkepadatan tinggi di India dan kini terdapat kebimbangan besar terhadap New Delhi yang sudah mengatasi Mumbai dengan hampir 80,000 kes.
Pentabdiran bandar meramalkan akan mengalami 500,000 jangkitan pada akhir Julai.
Ia sudah menggunakan kereta api untuk menampung pesakit dan mengambil alih hotel serta dewan jamuann untuk mengurangkan bebanan di hospital.
Kerajaan dikritik kerana kekurangan ujian yang menurut para pakar menyembunyikan jumlah sebenar kes di India, yang kini berjumlah 509,000.
India ketika ini berada di tempat keempat di dunia bagi jumlah jangkitan tertinggi, di belakang Amerika Syarikat, Brazil dan Rusia, walaupun jumlah kematiannya jauh lebih rendah.
Dalam usaha meningkatkan usaha pengesanan, pihak berkuasa Delhi menggesa 33,000 pekerja kesihatan memeriksa kira-kira 2 juta orang di zon tertutup di seluruh kota yang berjumlah 20 juta orang itu.
Bagaimanapun, bandar di seluruh negara yang berjumlah 1.3 bilion orang bakal berdepan gelombang besar kes baharu dalam beberapa minggu akan datang.
“Kemungkinan kita akan memasuki keadaan itu, kecuali kita dapat memperkukuhkan mekanisme penjarakan fizikal yang ketat atau pengurungan yang keras, di mana kadar jangkitan akan terus meningkat,” kata Anant Bhan, seorang pakar kesihatan awam terkemuka.
“Tidak seperti China, yang pandemik lebih tertumpu di sekitar Wuhan dan beberapa bandar lain, India mempunyai penyebaran lebih luas yang menjadikannya lebih mencabar untuk sistem penjagaan kesihatan,” katanya kepada AFP.
Bhan berkata India mungkin akan menyaksikan beberapa kemuncak dalam beberapa bulan mendatang kerana penyebaran virus “berubah-ubah di seluruh negara”. – AFP, 27 Jun, 2020.
Komen