IMF lulus bantuan kecemasan lebih AS$300 juta kepada Myanmar


Ekonomi Myanmar terus terjejas kerana Covid-19. – Gambar AFP, 27 Jun, 2020.

DANA Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam berkata ia akan memberikan pembiayaan kecemasan AS$356.5 juta kepada Myanmar, negara Asia Tenggara yang berdepan kemelut ekonomi teruk kerana Covid-19.

“Ekonomi Myanmar terjejas teruk kerana wabak Covid-19 disebabkan pengurangan mendadak pelancongan dan gangguan rantaian bekalan,” Mitsuhiro Furusawa, timbalan pengarah urusan IMF dalam satu kenyataan.

Dana itu “akan membantu keperluan kewangan segera Myanmar berkaitan kejutan Covid-19 dan pemangkin sokongan daripada rakan pembangunan.”

Wang itu datang daripada dua program yang digerakkan bagi memastikan pemberian segera pembiayaan tanpa rundingan panjang berkaitan program pembaharuan di Myanmar.

Sejumlah AS$118.8 juta berasal dari Fasiliti Kredit Pantas dan baki AS$237.7 juta akan diambil daripada Instrument Pembiayaan Pantas.

Ia adalah permohonan bantuan kewangan kecemasan ke-72 diluluskan lembaga eksekutif tabung itu bagi menangani kesan wabak.

Pembiayaan itu akan membantu kerajaan Myanmar menaikkan perbelanjaan untuk kesihatan, meluaskan pemberian bantuan makanan dan program pemindahan wang tunai kepada golongan teruk terjejas, perniagaan dan petani, kata IMF. – AFP, 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen