PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro semalam merayu penghakiman mahkamah yang memerlukannya memakai topeng muka di tempat awam sepanjang wabak Covid-19, menyifatkannya sebagai “tidak perlu”.
Pejabat peguam negara, yang mewakili kerajaan dalam urusan perundangan, berkata penghakiman itu bertindih kerana topeng muka memang kewajiban di Brasilia.
“Campur tangan mahkamah tidak perlu,” kata jurucakap pejabat peguam negara kepada AFP.
Bagaimanapun, peraturan itu sering dilanggar presiden haluan kanan itu, seperti kata Hakim Renato Borelli dalam penghakimannya dikeluarkan pada Isnin lalu.
“Presiden ada tanggungjawab perlembagaan untuk mematuhi undang-undang yang dikuatkuasa negara,” kata penghakiman bertulis hakim, mengarahkan Bolsonaro mematuhi peraturan atau berdepan denda 2,000 real.
Kes itu difailkan peguam yang berkata presiden perlu bertanggungjawab atas “kelakuan tidak bertanggungjawabnya.”
Sejak penghakiman itu, Bolsonaro mula memakai topeng muka ketika membuat penampilan awam.
Topeng muka diwajibkan di tempat awam di Brasilia sejak April untuk mengekang penularan virus.
Bolsonaro berulang kali melanggar arahan penjarakan sosial di kota itu, bersalam dan berpeluk ketika majlis awam, menganjurkan majlis makan dan sebagainya tanpa memakai topeng muka.
Presiden itu yang pernah membandingkan virus itu dengan “selesema ringan”, berarak membantah langkah pencegahan wabak yang dikuatkuasa pihak berkuasa negeri dan tempatan negara itu, berhujah yang penutupan perniagaan dan arahan duduk di rumah menjejaskan ekonomi negara itu.
Brazil mempunyai jumlah kematian wabak kedua tertinggi di dunia, selepas AS, sebanyak 55,000.
Setakat ini, Bolsonaro tidak pernah didenda kerana gagal memakai topeng muka.
Tetapi, bekas menteri pendidikannya Abraham Weintraub didenda 2,000 real minggu lepas kerana hadir himpunan pro Bolsonaro tanpa memakai topeng muka. – AFP, 27 Jun, 2020.
Komen