MAJLIS Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan memutuskan nasib kira-kira 300 pemimpin yang belot dalam mesyuaratnya pada Ahad, kata sumber parti.
“Jawatankuasa disiplin sudah membuat cadangannya dan kepemimpinan akan berbincang dan memutuskannya dalam mesyuarat pada Ahad,” kata seorang pemimpin MPP kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata beberapa pemimpin dijangka “dipecat” selepas mesyuarat itu.
Menurut sumber, tindakan itu perlu kerana parti sedang bersiap sedia kemungkinan pilihan raya tidak lama lagi.
Sumber itu berkata penting bagi PKR menyingkirkan pemimpin ini untuk memastikan tiada lagi pembelotan selepas pilihan raya.
“Kami tidak mahu mereka terus mensabotaj parti dari dalam,” kata pemimpin lain.
“Perkara terakhir yang kami perlukan adalah mereka mengganggu persiapan kami semasa kempen pilihan raya.
“Seperti yang berlaku sekarang, mereka keluar satu persatu untuk menganggu parti,” kata pemimpin itu.
Ia susulan pengunduran dua Adun yang rapat dengan timbalan presiden yang dipecat, Mohamed Azmin Ali, yang juga merupakan menteri kanan (perdagangan antarabangsa dan industri) di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
Pada 13 Jun, Adun Sementa dan Timbalan Ketua Wanita PKR Dr Daroyah Alwi mengundurkan diri daripada PKR sementara Adun Seberang Jaya dan bekas exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin keluar daripada parti pada 24 Jun.

PKR melakukan pembersihan susulan pembelotan Azmin, bekas naib presiden Zuraida Kamarudin dan sembilan ahli Parlimen lain ke Bersatu pada Februari.
Pembelotan dan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) menyebabkan kejatuhan gabungan itu pada Februari.
Seramai 10 ahli Parlimen kemudian “menyertai” Bersatu untuk menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan membentuk kerajaan PN ketika ini bersama-sama dengan Umno, PAS, GPS dan beberapa ahli Parlimen dari Sabah.
Ahli Parlimen lain yang keluar daripada PKR adalah Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaafar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnoon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Bagaimanapun Baru, tidak bergabung dengan Bersatu dan menarik balik sokongannya terhadap Muhyiddin dan kini menjadi ahli Parlimen bebas mesra PH.
Berikutan kejatuhan PH pada Februari, PKR memecat 348 ahli dan menggantung 285 ahli pada Mei selepas mesyuarat MPP pada 21 Mac dan 26 April.
Antara yang digantung termasuk pemimpin terkemuka seperti Ketua Wanita PKR Haniza Talha, bekas timbalan ketua Pemuda Dr Afif Bahardin, anggota MPP Mohd Radzlan Jalaludin dan Ketua Wanita Sabah Rahimah Majid.
Pemimpin akar umbi lain yang dipecat adalah Naib Ketua Pemuda Mohd Nazree Mohd Yunus, Ketua Penerangan Wanita Syarul Ema Abu Samah dan Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dan Adun Batu Lintang, See Chee How serta Vernon Albert Kedit.
Bekas ahli Parlimen Batu dan Naib Presiden Tian Chua juga diberi surat tunjuk sebab. – 27 Jun, 2020.
Komen