LEBIH banyak kategori perjalanan untuk rakyat Malaysia dibenar dilakukan ketika negara mula melonggarkan perintah kawalan pergerakan selepas menutup sempadan selama lebih tiga bulan kerana wabak Covid-19.
Berkuatkuasa 24 Jun, Jabatan Imigresen membenarkan pelajar Malaysia yang mahu keluar negara, termasuklah mereka yang memulakan pengajian di universiti asing serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan di luar negara.
Jenis perjalanan luar negara yang dibenarkan dibuat selain tujuan pendidikan adalah mereka yang bekerja di luar negara dan pemegang status penduduk tetap negara asing, kata Ketua Pengarah Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan hari ini.
“(Kategori disebut) Dibenarkan keluar negara tanpa perlu memohon kebenaran awal daripada JIM dengan syarat dokumen pembuktian seperti Permit Kerja atau dokumen sokongan yang berkaitan hendaklah dikemukakan semasa berurusan di kaunter Imigresen di pintu keluar negara,” katanya.
Perjalanan luar negara lain seperti perniagaan, mesyuarat, konvensyen atau pameran atau kecemasan, bagaimanapun, masih memerlukan kebenaran bertulis Jabatan Imigresen.
Khairul berkata, permohonan kebenaran perlu dihantar bersama-sama pasport dan dokumen berkaitan.
Jabatan juga membenarkan beberapa kategori warga asing untuk memasuki Malaysia tanpa perlu kebenaran awal pihak berkuasa.
Mereka termasuklah pemegang status penduduk tetap Malaysia, diplomat, tanggungan asing warganegara Malaysia yang memiliki pas lawatan sosial atau jangka panjang, serta warga asing yang mempunyai pas pekerjaan atau penduduk dan tanggungan mereka.
Pembantu rumah adalah antara kategori warga asing yang juga dibenarkan masuk Malaysia. – 26 Jun, 2020.
Komen