GOLONGAN belia di Malaysia tidak berminat dengan politik kerana mereka muak untuk mendengar isu berkaitan kaum dan agama yang dimainkan untuk meraih undi, menurut satu forum belia hari ini.
Mereka turut merasakan dipinggirkan kerana kerajaan jarang melibatkan mereka, yang disifatkan oleh ahli panel forum berkenaan sebagai “politik orang tua”.
Ahli panel Tarmizi Anuwar, ahli Pemuda Sosialis DAP, merujuk kepada dua kes membabitkan Mustafa Akyol dan Joshua Wong, sebagai contoh isu yang menyebabkan golongan muda menjauhi politik.
Penulis Turki, Mustafa Akyol, ditahan atas arahan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika bersedia untuk menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 September. Dia dituduh memberi ceramah agama tanpa tauliah.
Aktivis Joshua Wong dipenjarakan di Hong Kong berikutan peranannya dalam bantahan pro-demokrasi yang mencetuskan demonstrasi gerakan Umbrella dan sekatan jalan raya.
“Melihatkan kepada data Suruhanjaya Pilihan Raya, lebih 40% golongan belia tidak mendaftar sebagai pengundi,” kata Tarmizi pada forum bertajuk “Envisioning Our Future: Youth Rebels against Old Politics” yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.
Kaji selidik oleh Merdeka Centre for Opinion Research mendapati 70% belia tidak peduli tentang politik, dan menyatakan tidak percaya kepada ahli politik, kurang minat serta rasa tidak berdaya.
Setiausaha agung gerakan belia Challenger, Jean Vaneisha Ravindran berkata, kurang minat terhadap politik oleh remaja disebabkan mereka tidak memahami senario politik.
“Kita tidak tahu apa yang Barisan Nasional perjuangkan selain “Janji Ditepati, 1MDB, Najib Razak. Ini adalah frasa kami dengar dan ia tidak menarik perhatian kami untuk katakan “saya mahu mengundi mereka kerana mereka mengambil idea saya menggunakannya”.
“Sama dengan Pakatan Harapan. Mereka katakan mahu membanteras rasuah dan mengembalikan ketelusan, tapi apa kaitannya dengan belia?” kata Ravindran, yang juga ahli panel forum berkenaan.
Katanya, sistem pendidikan telah mengehadkan golongan belia untuk memahami senario politik di negara ini.
Ahli panel ketiga, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu, Pahang daripada PKR, Lee Chean Cung berkata penyelesaian untuk mendapatkan penglibatan belia dengan lebih baik adalah dengan mengadakan perbincangan intelek lebih kerap.
“Universiti Taiwan mengadakan kem politik selama empat hari kepada penuntut kursus Sains Politik di mana mereka jalankan pilihan raya.
“Kita perlu mencari senario yang menarik yang boleh disertai golongan belia bagi membolehkan mereka menanam minat dalam politik,” katanya.
Tambahnya, parti politik perlu menjadi lebih lantang mengenai isu belia dan meningkatkan penglibatan mereka.
Jay Jay Denis yang merupakan penganalisis dasar di Pemantauan Kemapanan Globalisasi menjadi moderator pada forum itu.
Satu lagi kaji selidik oleh Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati, mencari kerja yang baik dan menyesuaikan diri dengan kos sara hidup menjadi keutamaan di minda pengundi muda.
Kaji selidik yang dijalankan selama lima hari itu mendapati separuh daripada 4,486 responden memilih untuk mengundi manakala 22% lagi mengatakan mereka akan putuskan pada pemilihan calon seminggu sebelum hari mengundi manakala 19% lagi pada hari mengundi.
Kebanyakan pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun berada dalam kategori “belum buat keputusan”. – 2 Disember, 2017.
Komen
Anda melihat ini dari opersorktif media pemerentah tapi pernah tak snda melihat ini dari oerpektif media sosial yang berat kepada agenda pembangkang seoerti DAP. Anda hanya bokeh melihat klu ada dapat melihat warna kelabu dalam warna hitam dan putih.
Contoh: fmt dan malaysiakini..
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan