Pendekatan global kunci utama tangani Covid-19, kata PBB


Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menggesa seluruh dunia memperkukuhkan kerjasama pelbagai hala dalam menangani pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 26 Jun, 2020.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres semalam menggesa seluruh dunia untuk memperkukuhkan kerjasama pelbagai hala dan menegaskan bahawa pendekatan global merupakan kunci utama dalam menangani pandemik Covid-19.

Bercakap pada malam ulang tahun ke-75 Piagam PBB beliau berata dunia kini diancam pergolakan dan bergelut dengan Covid-19 serta perubahan iklim selain ketidakadilan perkauman yang berleluasa dan ketidaksamaan kian meningkat di mana kesemuanya harus ditangani melalui semangat multilateralisme yang diperbaharui.

“Kita tidak boleh kembali kepada cara seperti dulu dan sewenang-wenangnya mencipta semula sistem yang memburukkan lagi krisis.

“Kita mesti bersama-sama membina semula dunia yang dikongsi ini.

“Kita memerlukan satu pendekatan multilateralisme berkesan yang mampu berfungsi sebagai instrument pentadbiran global yang diperlukan,” katanya.

Guterres berkata PBB berjaya membuktikan kebolehannya dalam bertindak balas terhadap krisis Covid-19 dengan menghantar 250 juta alat perlindungan diri (PPE) kepada lebih 130 negara selain menyokong pendidikan kanak-kanak dan keperluan keluarga serta penjaga.

Rangkaian bekalan PBB memainkan peranan penting dalam pengedaran barangan perubatan ke seluruh dunia ketika penularan Covid-19, katanya.

Malah katanya sokongan PBB terhadap pembangunan vaksin selain usaha beliau sendiri pada Mac lalu ke arah gencatan senjata di pelbagai zon konflik bagi engekang virus tersebut dari merebak menjadi nilai utama pendekatan multilateral institusi berusis 75 tahun itu.

Piagam PBB ditandatangani di San Francisco pada 26 Jun 1945 ketika berakhirnya Perang Dunia Kedua sebelum dikuatkuasakan empat bulan kemudian. – AFP,, 26 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen