Bank Dunia gesa pencen untuk pekerja pendapatan rendah


Sheridan Mahavera

Bank Negara gesa Malaysia melancarkan skim pencen khas untuk golongan berpendapatan rendah berusia 65 tahun bagi mengukuhkan usaha negara berdepan kesan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2020.

SKIM pencen khas untuk rakyat Malaysia berpendapatan rendah berusia 65 tahun ke atas adalah antara langkah yang boleh diambil negara untuk mengatasi kesan wabak Covid-19 dengan jayanya, kata Bank Dunia.

Skim itu akan memastikan lebih ramai pesara terjaga dalam usia persaraan mereka terutama sekali kerana hampir 40% golongan itu tidak mempunyai caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau pencen sektor awam.

Ahli ekonomi kanan Bank Dunia Achim Schmillen berkata perlindungan sosial yang lebih baik akan memperkukuh benteng negara berdepan kejutan ekonomi di masa depan.

Ia juga boleh membantu Malaysia berdepan cabaran berkaitan perubahan alamaiah pekerjaan seperti pekerja ekonomi gig yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk persaraan, kata Schmillen.

Pengukuhan perlindungan sosial juga boleh menyiapkan Malaysia ketika ia berubah menjadi negara emas apabila 40% penduduknya berusia 65 tahun ke atas pada 24 tahun lagi.

Walaupun negara mempunyai skim meluas untuk membantu golongan miskin, luar bandar, usahawan kecil dan warga emas, bantuan program ini tidak diedarkan secara berkesan dan mencukupi, kata Schmillen.

Ini termasuklah program seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) yang disasarkan kepada B40 dan KWSP.

“Di Malaysia, cakupan sangat tinggi di mana lebih 98% B20 dilindungi beberapa bentuk bantuan sosial dan kadar ini lebih tinggi berbanding purata untuk negara berpendapatan pertengahan,” katanya ketika pembentangan laporan Malaysia Economic Monitor terbaru.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak mencukupi kerana bantuan membentuk kurang daripada 8% perkongsian pendapatan B20 dan ia lebih rendah berbanding negara berpendapatan pertengahan lain.

“Kesannya, program bantuan sosial sahaja tidak mencukupi untuk menjamin pendapatan mencukupi untuk golongan paling rentan.”

Perbelanjaan Malaysia untuk program bantuan sosial juga hanyalah 1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih rendah berbanding purata negara berpendapatan pertengahan dan tinggi lain.

Kadar yang rendah ini bermakna program ini tidak memberi banyak kesan ke atas usaha mengurangkan kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, tambahnya.

Menyentuh tentang simpanan persaraan pula, hampir 40% pekerja Malaysia tidak mendapat perlindungan caruman KWSP (48.9%) dan pencen sektor awam (11.9%). – 26 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen