Seni persembahan suram sejak SOP dikuatkuasakan


Angie Tan

Peraturan dan SOP yang mengehadkan jumlah penonton sedikit sebanyak memberi kesan kepada jualan tiket untuk persembahan pentas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2020.

PROSEDUR operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi seni persembahan menyebabkan ia muram, kata mereka yang terlibat dalam cabang seni berkenaan.

Mereka merungut peraturan baharu menyebabkan penonton berkurangan sehingga suku daripada jumlah sepatutnya.

SOP baharu ini juga memerlukan penari menjaga jarak mereka ketika melakukan rutin tarian yang menyukarkan persembahan.

Oleh sebab itu, ramai yang membuat keputusan untuk menghentikan persembahan sehingga vaksin wabak Covid-19 berjaya ditemukan.

Pengasas Damansara Performing Arts Centre (DPAC) Ma Jinquan berkata, persembahan mereka menetapkan 200 tempat duduk, namun mengikut SOP baharu, hanya 72 orang dibenarkan hadir.

Menurutnya, teater itu mempunyai tiga sumber pendapatan iaitu penjualan tiket, tajaan dan jualan produk.

“Produk biasanya jarang dalam seni persembahan, dan tajaan juga bukan mudah untuk dicari, jadi sumber utama pendapatan kami adalah daripada jualan tiket. Bagaimanapun, jumlah  penonton yang terhad menyebabkan kos lebih tinggi daripada pendapatan.”

“Kami juga perlu menjaga kakitangan lain, jadi secara mudahnya, kami tetap akan rugi walaupun membuat persembahan.”

Katanya, mengikut SOP, mereka yang membuat persembahan perlu menjaga jarak dan ini menyebabkan tarian berkumpulan tidak boleh dipersembahkan.

“Sebagaimana yang kita lihat situasi Covid-19 di kebanyakan negara lain, situasinya masih berisiko. Saya tidak mahu penonton, penari dan kakitangan mengambil risiko.”

Oleh itu, DPAC hanya akan kembali membuat persembahan selepas vaksin ditemui, kata Ma.

“Saya ada minta pendapat kumpulan penari dalam dan luar negara, dan mereka semua menganggarkan ia mungkin mengambil masa 3 hingga 4 tahun untuk kembali ke pentas.”

Kumpulan tarian profesional ini bertahan selama 22 tahun dan merupakan kumpulan tarian profesional sepenuh masa pertama di Malaysia.

Ma tidak mahu mensia-siakan usaha kerasnya, jadi beliau memutuskan untuk mengubah kumpulan tarian itu menjadi persembahan dalam talian dalam tempoh ini.

Katanya, semua persembahan dibatalkan sehingga 2021.

“Kami dijadualkan mengadakan persembahan di lima negara tahun ini, namun kesemuanya dibatalkan. Oleh itu, saya memutuskan untuk beralih ke persembahan atas talian dan membuka jualan tiket pra-tempahan atas talian.”

Beliau berkata penonton akan dapat menikmati persembahan “Persembahan Visual Baharu atas Pentas Yang Dikongsikan” dengan hanya membayar RM150.

Mereka yang berminat boleh melayari Facebook mereka untuk butiran lanjut.

“Kumpulan tarian telah tampil selama 22 tahun, dan tiada yang menyangka masih wujud hari ini, tetapi kami belum menyerah. Kami harus berusaha sebaik mungkin untuk berubah.”

Sementara itu, pengasas The Stone Dance Company Chen Lianhe percaya definisi persembahan sangat peribadi, dan lokasinya juga sangat fleksibel.

Beliau merancang untuk mengurangkan persembahan kumpulannya.

Chen percaya tarian tidak harus berkisar pada saiz kumpulan yang tampil dan mereka masih dapat menyampaikan mesejnya walaupun dengan sekumpulan penari kecil.

Tambahnya kumpulan tarian itu, yang dimulakan pada tahun 1999, telah menghentikan pertunjukan umum sebelum Mac, dan pertunjukan berikutnya adalah setengah tahun kemudian, jadi pandemik tidak banyak mempengaruhinya semasa perintah kawalan pergerakan.

Bagaimanapun katanya, beliau menyedari bahawa penari tidak bergantung pada persembahan sahaja sebagai pendapatan.

“Sejujurnya, tiada kumpulan tarian di Malaysia yang boleh bertahan hanya dengan membuat persembahan dan kebanyakan mereka juga perlu mengajar untuk menjana pendapatan.

“Dan keutamaan kami adalah mengajar dan persembahan adalah yang kedua. Buat masa ini kami mengajar atas talian, dan pengajaran biasa akan bersambung selepas ini.”

Putrajaya membenarkan aktiviti seni persembahan diteruskan bermula bulan dan terhad kepada acara tertutup dan semua penganjur perlu mematuhi SOP. – 26 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen