MALAYSIA perlu salurkan lebih banyak bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan industri kecil dan sederhana bagi mengekalkan pemulihan ekonomi berikutan pandemik Covid-19, kata Bank Dunia.
Ini sebagai tambahan kepada RM295 bilion yang setakat ini diperuntukkan oleh kerajaan dalam empat pakej rangsangan tahun ini, kata Bank Dunia ketika membincangkan bagaimana negara dapat menghadapi kegawatan ekonomi.
Untuk membiayai pakej bantuan tambahan, Putrajaya mesti mempertimbangkan untuk mengubah undang-undang tentang bagaimana kerajaan meminjam wang dan mengumpulkan lebih banyak pembayaran dividen dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia Firas Raad berkata, langkah-langkah dalam skim Bantuan Prihatin Nasional dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) telah menangani kesan ekonomi akibat Covid-19 namun lebih banyak bantuan diperlukan pada masa akan datang.
Ini bagi membolehkan kumpulan B40 menerima bantuan tambahan bagi pemulihan ekonomi pada bulan akan datang, kata Firas pada sidang media selepas melancarkan Pemantauan Ekonomi Malaysia Bank Dunia.
“Walaupun langkah kerajaan untuk membantu industri kecil dan sederhana dan isi rumah untuk meneruskan aktiviti ekonomi adalah baik, kami merasakan bantuan kewangan tambahan daripada Perbendaharaan perlu bagi golongan yang memerlukan seperti kumpulan B40.”
“Malah sebelum Covid-19 lagi terdapat ruang fiskal yang sempit bagi kerajaan, jadi ia perlu memikirkan cara lebih efektif bagaimana untuk mengembangkan ruang fiskal tambahan,” kata Firas.
Defisit belanjawan negara dijangka meningkat kepada 7% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini kerana perbelanjaan tambahan dan pendapatan yang lebih rendah kata Bank Dunia.
Bagi mewujudkan lebih banyak sumber dana, pakar ekonomi utama Bank Dunia untuk Malaysia Richard Record mengatakan Putrajaya boleh memberi keutamaan semula perbelanjaan dan mengumpulkan lebih banyak dividen dari GLC besar seperti Petronas.– 25 Jun, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen