Guru, ibu bapa kecewa cuti sekolah dipendekkan


Sheridan Mahavera

Guru-guru bekerja keras sepanjang cuti sekolah ketika perintah kawalan pergerakan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran dalam talian. – Gambar fail The Malaysia Insight, 25 Jun, 2020.

SEPANJANG tiga bulan, Kamal seorang guru yang berpusat di Kelantan kagum dengan bagaimana ibu bapa di sekolah luar bandarnya membantu anak-anak mereka terus terlibat dalam kelas di dalam talian.

Ibu bapa yang kebanyakannya adalah petani dan nelayan membantunya melukis gambar rajah dan menulis nota dari bahan yang dimuat turun dari internet.

Bahan-bahan ini kemudiannya dikongsi dalam kumpulan WhatsaApp kelas sains dan ini membantu kesemua muridnya memahami semua topik tersebut dengan lebih baik, kata Kamal.

Yang paling penting ia membantu semua kelas menyelesaikan atau mengikuti silibus sekolah serta mengelakkan mereka ketinggalan.

Kamal berkata guru-guru lain di sekolahnya merasai pengalaman betapa dedikasinya ibu bapa walaupun berasal dari latar belakang kampung yang berpendapatan rendah.

“Tidak benar jika dikatakan anak-anak kampung tidak mahu belajar semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana saya melihat sendiri bagaimana keluarga mereka benar-benar berusaha membantu anak-anak belajar dan tidak ketinggalan,” katanya.

Guru sains itu berkata sedemikian sebagai tindak balas terhadap kebimbangan bahawa sekolah tidak akan menyelesaikan sukatan pelajaran mereka mengikut calendar akademik apabila kelas ditangguhkan sejak 18 Mac kerana PKP.

Kebimbangan ini adalah sebab utama mengapa Kementerian Pendidikan memutuskan untuk memotong cuti sekolah penggal pertengahan dan akhir untuk sepanjang tahun ini serta meningkatkan jumlah hari persekolahan.

Perubahan ini dinyatakan dalam kalendar akademik yang dipinda dan dikeluarkan pada Selasa, sehari sebelum pembukaan semula sekolah secara berperingkat bermula dengan pelajar Tingkatan Lima dan Enam Atas.

Cuti penggal pertengahan dan akhir telah dikurangkan antara 13 dan 14 hari bukannya 41 dan 42 hari seperti asal.

Sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang cuti cuti hujung minggu jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu akan mendapat cuti sebanyak 14 hari manakala sekolah di seluruh negara akan mendapat cuti sebanyak 13 hari.

Kalendar baharu ini telah menarik perhatian guru dan ibu bapa yang menyatakan perubahan tarikh secara tiba-tiba mengganggu kehidupan mereka.

Cuti untuk bertugas

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) berkata, mereka meminta Kementerian Pendidikan untuk kembali kepada calendar lama.

Presiden NUTP Amiruddin Awang juga memberi jaminan kepada kementerian bahawa tenaga pengajar akan dapat menyelesaikan sukatan pelajaran untuk tahun persekolahan pada waktunya melalui kelas tambahan dan pelajaran dalam talian.

Amiruddin berkata jadual baharu yang telah memotong cuti akhir tahun memberi gambaran bahawa guru tidak memainkan peranan mereka semasa PKP.

“Realitinya guru dan ibu bapa sudah bekerja dua kali lebih susah pada PKP untuk memastikan ramai pelajar mengambil bahagian,” kata Amiruddin kepada The Malaysian Insight.

PKP yang berkuatkuasa pada 18 Mac bagi memerangi wabak Covid-19 memaksa semua sekolah tadika ditutup.

“Kami ingin kementerian mempertimbangkan untuk menggunakan kalendar lama dan memberi guru peluang menyelesaikan sukatan pelajaran mengikut kalendar itu kerana mereka sudah merancang pelajaran mereka,” kata Amirudin.

“Kami menerima banyak keluhan bukan hanya daripada guru tetapi daripada ibu bapa bahawa kalendar akademik baharu akan mengganggu kehidupan serta rancangan mereka.

“Kalendar baharu mengecewakan guru yang sudah bekerja keras sepanjang PKP dalam menyiapkan dan merekod pelajaran dalam talian. Mereka mengambil inisiatif untuk mencari bahan baharu agar pelajaran dapat diakses oleh pelajar,” katanya.

Mohamed Saufi Shafie, yang mengetuai persatuan ibu bapa dan guru di Rawang, Selangor berkata keluarga sudah  membuat rancangan untuk cuti sekolah seperti mengunjungi orang tua dan mengadakan majlis perkahwinan.

Sebilangan ibu bapa juga menggunakan waktu cuti sekolah untuk memaksa anak-anak mereka menyelesaikan tugas yang tidak dapat dilakukan pada hujung minggu atau hari persekolahan.

“Persepsi bahawa kita hanya akan duduk di rumah dan tidak melakukan apa-apa semasa cuti sekolah, adalah salah. Cuti ini penting bagi keluarga untuk menyelesaikan tugas mereka,” katanya.

Sebagai contoh, PKP telah melarang perjumpaan dan melakukan kunjungan ke luar negeri, keluarga telah menunda rancangan ini hingga ke penggal akhir.

Saufi dengan tegas mendakwa guru sudah bekerja lebih keras semasa PKP untuk memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka.

“Mereka mengesan pelajar  yang tidak hadir dan membantu mereka kembali ke pembelajaran dalam talian.

“Oleh itu, guru benar-benar berasa sedih dan kecewa dengan kalendar baru kerana kementerian seolah-olah menganggap mereka tidak bekerja semasa PKP,” katanya. – 25 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen