SYARIKAT perkhidmatan pembasmian kuman melonjak dan berkembang pesat selari dengan semakin banyak sektor dibuka selepas Putrajaya menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Pengendali perniagaan masih berhati-hati dengan ancaman Covid-19 walaupun perintah sekatan mulai longgar secara perlahan-lahan.
Sementara pengendali perniagaan terpaksa dan perlu melakukan pembasmian kuman di premis mereka, kawasan perumahan juga mulai mengikut langkah itu dengan mula mengemukakan pelbagai soalan dan perkhidmatan yang disediakan serta keberkesanannya.
Pengarah Urusan Kumpulan Gaia Science Sdn Bnd Steven Suresh berkata mereka juga melakukan khidmat pembasmian kuman di kawasan perumahan.
“Pemilik kediaman mula bertanya tentang kos perkhidmatan. Kosnya antara 60 sen dan RM4 bagi satu kaki persegi dan ia bergantung kepada pilihan pelanggan iaitu pembersihan permukaan atau dekontaminasi bilik.
“Kami terima banyak pertanyaan dan akan melakukan yang terbaik dalam menyediakan perkhidmatan diperlukan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, mereka menyediakan perkhidmatan dekontaminasi sejak 11 tahun lalu.
“Sejak pandemik itu, kami beralih kepada menyediakan perkhidmatan pembasmian kuman untuk sekolah, pejabat dan rumah.”
Suresh berkata salah satu ciri syarikatnya ialah menyediakan pentaksiran risiko untuk pelanggan sebelum memulakan kerja.
“Kami pergi ke kawasan Covid-19 dan kami buat juga pentaksiran risiko untuk pelanggan.
“Jika ada kes yang disahkan, maka kami akan ambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan sut peralatan perlindungan peribadi (PPE). Selepas melakukan tinjauan di kawasan berkenaan kami akan berikan butiran penuh pentaksiran kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata ada dua cara untuk melakukan pembasmian kuman, iaitu menggunakan mesin untuk melakukan pengkabutan bilik dan semburan permukaan.
“Pengkabutan dilakukan untuk proses pensterilan di mana ia membunuh hampir semua bakteria.
“Di sesetengah tempat, kami biarkan mesin dipasang untuk dua jam dan di beberapa tempat lain, mesin terpasang sepanjang malam.
“Ini bagi memastikan tempat itu dinyah kuman secara sempurna,” katanya.
Sejauh mana keberkesanan kaedah itu, Suresh berkata mereka menggunakan indikator biologi untuk menguji kawasan berkenaan dan ia tepat 99%.
“Kami menggunakan bahan seperti hidrogen peroksida yang diluluskan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat,” katanya. – 25 Jun, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen