Zahid pertahan dua bekas MB Selangor


Asila Jalil

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (duduk, tengah) pada sidang media selepas konvensyen Umno Selangor yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 2 Disember, 2017.

RASIONAL memanggil kedua-dua bekas menteri besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dan Muhammad Muhd Taib tidak wajar dipersoalkan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi selepas konvensyen Umno Selangor hari ini. 

Menurutnya, beliau menghargai usaha kedua-dua mereka ketika berada dalam Barisan Nasional sebelum ini.

“Mengapa kita mempersoalkan rasional kita memanggil bekas pemimpin ini?

“Saya hargai usaha yang dibuat oleh Khalid kerana agenda beliau sama seperti kita (BN),” katanya pada sidang media selepas konvensyen Umno Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. 

Bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim muncul ketika pembukaan konvensyen Umno Selangor hari ini. 

Bagaimanapun, pembantu Khalid memberitahu The Malaysian Insight, bekas pemimpin PKR itu tidak menyertai Umno.

“Tan Sri Mat Taib sudah tukar “rumah” dua kali sebelum ini namun akhirnya memilih “rumah” yang penuh warna merah dan kami mengalu-alukan kehadirannya ke rumah ini,” kata Zahid. 

Muhammad keluar daripada Umno pada 2013 dan menyertai PAS sebelum meninggalkan parti Islam itu untuk menyertai PKR pada 2015. 

Beliau kemudiannya kembali menyertai Umno pada September. 

Difahamkan, program terbabit adalah sesi taklimat tertutup berhubung strategi Umno untuk merampas kembali Selangor daripada blok pakatan pembangkang Pakatan Harapan, dan Khalid bersama seorang lagi bekas menteri besar Muhammad Muhd Taib, dipercayai menjadi tokoh utama dalam usaha ini. 

BN Selangor mengajak Khalid menyertai Umno untuk merampas kembali negeri itu pada PRU14.

Pengerusi BN Selangor Noh Omar berkata, sekiranya Khalid menyertai Umno semula, parti itu boleh menunjukkan kepada pengundi di Selangor bahawa pembangunan di negeri itu adalah disebabkan rancangan dan dasar yang dibawa oleh bekas menteri besar dari Umno sebelum ini. 

“Sebagai bekas menteri besar, mereka akan menggunakannya sebagai asas untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana dasar mereka pada masa lalu membolehkan Selangor maju sebagaimana hari ini,” kata Noh sebelum ini. – 2 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen