WALAUPUN majlis sosial dengan hadirin seramai 250 orang dibenar diadakan semula bermula 1 Julai, Kementerian Kesihatan berkata mereka akan bertindak sekiranya kes Covid-19 dikesan di tempat majlis diadakan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham berkata kementerian akan bertindak termasuklah menutup premis atau kawasan itu sekiranya kes Covid-19 dikesan disebabkan majlis itu.
“Jika ada jangkitan Covid-19 daripada perhimpunan sosial, kita akan menutup kawasan itu, hotel atau restoran.
“Kita membenarkan perhimpunan sosial tetapi kami akan pantau. Jika ada kes positif dikesan atau ada kluster baharu kami akan mengambil tindakan perlu,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau juga kembali mengulangi yang penjarakan sosial adalah langkah pencegahan terbaik memandangkan vaksin Covid-19 belum ditemui.
Dr Noor Hisham berkata Malaysia boleh mencapai rekod tiada kes baharu pada pertengahan Julai ini sekiranya rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan pihak berkuasa.
Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan majlis agama dan sosial dibenarkan diadakan semula bermula 1 Julai tetapi tidak boleh melebihi 250 orang.
Majlis tersebut termasuklah perkahwinan, pertunangan, hari lahir serta majlis agama, katanya.
Selain itu, majlis hanya boleh diadakan dalam tempoh tiga sehingga lima jam sahaja dengan kepatuhan tinggi SOP.
“Hari ini kami memutuskan untuk membenarkan majlis perkahwinan, acara kegamaan, ulang tahun dan perjumpaan tetapi setiap acara mesti diadakan antara tiga hingga lima jam.
“Hanya 250 individu dibenarkan bergantung pada ukuran tempat pada satu masa,” katanya. – 24 Jun, 2020.
Komen