3 kluster baharu Covid-19 dikesan


Ragananthini Vethasalam

Tiga kluster baharu Covid-19 dikesan dan pengesanan kes aktif sedang giat dijalankan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan mengesan tiga kluster Covid-19 baharu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster tersebut adalah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang kebanyakannya melibatkan warga asing, kluster Kondominium Hulu Langat yang bermula dengan seorang pelajar tahfiz dan kluster tapak pembinaan di Kuching, Sarawak.

Kluster Bukit Bintang melibatkan 10 kes- sembilan warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan.

Kes indeks kluster itu adalah seorang warga asing yang diuji positif pada 15 Jun lalu menerusi saringan untuk kembali bekerja. Tujuh daripada 10 kes itu adalah teman serumah kes indeks tersebut.

Dr Noor Hisham berkata kes terbaru kluster berkenaan adalah wanita berusia 40 tahun yang tinggal di Selangor tetapi bekerja di Bukit Bintang.

“Kami sedang menyiasat sama ada beliau ada kaitan dengan tujuh kes di apartment,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

274 orang sudah disaring berkaitan kluster itu, melibatkan 203 warga asing dan 71 warganegara.

Sementara itu, kes index kluster Kondominium Hulu Langat pula adalah seorang pelajar tahfiz yang disahkan positif pada 8 Jun.

Pengesanan kes aktif menemui dua lagi kes berkaitan kluster itu. Kes pertama adalah warga asing yang merupakan bapa angkat kes indeks.

Walaupun mereka tidak tinggal serumah, beliau dikatakan melawat rumah kes indeks.

Rakan sekerjanya juga diuji positif Covid-19.

Sejumlah 40 kontak rapat sudah disaring melibatkan 26 warga asing dan 14 warga Malaysia. Daripada jumlah itu, 30 disahkan negatif dan tujuh lagi masih menunggu keputusan ujian mereka.

Kluster ketiga dikesan di sebuah tapak pembinaan di Kuching, Sarawak. Penyelia tapak berkenaan adalah kes indeks dan diuji positif dalam saringan di sebuah klinik swasta.

Dua pekerjanya warga Indonesia juga diuji positif Covid-19.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, tiada kes baharu dikesan di semua 20 kluster lain.

Malaysia melaporkan enam kes baharu hari ini dan 45 lagi disahkan pulih. Tiada kematian dilaporkan hari ini.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia kini berjumlah 8,596 dengan jumlah kes pulih sebanyak 8,231.

Kes aktif pula sebanyak 244 dan jumlah korban kekal 121. – 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen