KAWASAN penempatan kecil Kenyah di Tanjung Papalit pernah “musnah” suatu ketika dahulu, kerana ditenggelami air yang kini memenuhi empangan hidroelektrik Baram.
Penduduk di lebih 40 penempatan di lembah Sungai Baram akan menjadi antara 20,000 suku kaum yang akan dipindahkan berikutan pembinaan empangan yang akan menenggelamkan tanah seluas 400 km persegi sekiranya ia diteruskan.
Tanjung Papalit terletak di dalam kawasan tadahan air empangan berkenaan.
Sekiranya empangan yang mampu menjana 1,200 megawatt (Mw) bekalan elektrik, yang dicadangkan oleh bekas ketua menteri Adenan Satem mengancam kehidupan masyarakat di Tanjung Papalit, satu lagi sistem hidroelektrik, yang lebih kecil, mampu memberi kehidupan kepada kampung yang terlibat.
Pakatan organisasi bukan kerajaan yang tidak percaya dengan empangan besar yang dikatakan tidak mesra alam, pada Februari telah melengkapkan projek hibrid hidroelektrik yang mampu menjana 5Kw elektrik kepada Tanjung Papalit.
Pihak yang mengetuai kempen bagi projek hidroelektrik kecil kepada penduduk pedalaman Baram adalah Peter Kallang, yang merupakan pengerusi NGO yang berpangkalan di Sarawak, Save Rivers - NGO yang sama mengetuai bantahan pembinaan empangan Baram.
“Ini merupakan projek pertama kami dan ia berjaya walaupun hanya menjana 5Kw tenaga yang kecil dan terhad,” kata Kallang berhubung projek Tanjung Papalit.
“5Kw hanya mampu menerangi kawasan kampung dan memberikan kuasa untuk peti sejuk beku komuniti di sini.”
Kejayaan itu bagaimanapun mendorong Save Rivers dan rakan NGO mereka yang berpangkalan di Sabah, Tonibung dan Green Environment untuk membina generator hidroelektrik yang lebih besar pada projek mereka yang seterusnya di penempatan Long Lian.
Perkampungan masyarakat Kayan ini sama besar dengan Tanjung Papalit akan mempunyai generator hidro yang mampu menjana 11Kw elektrik.
Kerja untuk projek berkenaan bermula pada 14 November dan NGO itu berharap ia dapat dijalankan dalam tempoh lapan bulan.
Kallang mendekati Tonibung, akronim bagi Tobpinai Ningkokoton Kobuburuon Kampung yang bermaksud Rakan Pembangunan Kampung, kerana kemahiran mereka dalam penyelesaian pengurusan sumber yang efektif dari segi kos kepada komuniti luar bandar di Sabah.
Diasaskan pada 1991, Tonibung, mula melatih penduduk asli yang sukar untuk menyesuaikan diri dengan cara pertanian yang agak asing bagi mereka tetapi sejak beberapa dekad lalu, ia mengubah fokus kepada membekalkan elektrik ke kawasan luar bandar, terutamanya pada sistem hidroelektrik mikro.
Kallang membawa Aidan Lasimbang dari Tonibung ke Baram tahun lalu untuk mengkaji sistem hidroelektrik mikro yang berjaya dibuat oleh NGO berkenaan di Sabah dan boleh ditiru di Baram.
Tonibung membuat reka bentuk, memperoleh barangan, melakukan pemasangan dan menjalankan ujian dan meneruskan sistem hodroelektrik mikro Tanjung Papalit.
Tonibung turut memberikan latihan kepada penduduk sebagai salah satu usaha untuk melahirkan juruteknik dari dalam kalangan masyarakat asli luar bandar, membolehkan mereka menyelenggara sistem milik mereka.
“Dalam masa tiga tahun ke empat tahun akan datang, kami berharap akan mendapat lima kampung yang memiliki sistem hidroelektrik mikro,” kata Kallang.
Salah sebuah kampung yang dicadangkan adalah perkampungan Penan di Taman Aman Baram di mana mereka merancang untuk memasang sistem hidroelektrik mikro yang mampu menjana antara 5Kw hingga 40Kw kuasa elektrik.
Kallang yang merupakan bekas jurutera elektrik di Sarawak Shell Bhd sebelum ini dan kini menjadi aaktivis alam sekitar berkata, kekurangan jumlah kampung yang disasarkan dalam tempoh setahun adalah kerana kekangan dana untuk projek berkenaan.
Sistem yang mampu menjana antara 15Kw bekalan elektrik akan menelan kos antara RM150,000 hingga RM170,000.
“Tiada sesiapa di Malaysia yang mahu menyumbangkan jumlah wang itu kepada beberapa perkampungan yang mereka sendiri belum pernah dengar mengenainya. Bukan sahaja penderma dari rakyat Malaysia, malah kerajaan sekalipun,” katanya.
Namun, kekangan itu tidak menghalang Kallang dan rakan NGO itu mencari penyelesaian yang lebih baik pencarian mereka dalam menerangi kawasan pedalaman Sarawak.
Salah satu cara adalah sistem perpaipan mereka adalah untuk mencipta satu grid bagi menghubungkan perkampungan lain dalam satu masa.
“Sistem hidroelektrik mikro ini didapati bukan sahaja lestari, malah tahan lama di Sarawak,” kata Kallang.
Dia turut membina sistem hidroelektrik mikro di Long Bawen, Belaga untuk komuniti Kenyah Badeng yang menentang skim penempatan semula Bakun kerajaan
di Sungai Asap.
Komuniti terbabit menguruskan projek sistem hidroelektrik mikro yang dibina pada 1998 dan mula beroperasi pada 2002 yang hingga kini “tanpa sebarang masalah besar”. – 2 Disember, 2017.
Komen