SATU daripada tiga pekerja di Malaysia dipotong gaji sehingga 30% ketika pandemik koronavirus, menurut kaji selidik yang dijalankan JobStreet.
Hampir separuh atau 48% daripadanya mengalami kesan negatif pada pendapatan dan gaji mereka manakala 24% menyatakan mereka dipaksa untuk mengambil cuti tanpa gaji.
“Dalam jangka masa panjang, pekerja sepenuh masa kurang terdedah dengan pemberhentian kerja, kebanyakannya dipotong bonus atau gaji,” kata JobStreet dalam satu kenyataan.
“Malah, satu daripada tiga pekerja melaporkan pemotongan gaji lebih 30%. Namun begitu, kebanyakan pekerja kini mementingkan hal-hal yang berkaitan dengan kewangan dan keselamatan pekerjaan.
“Kebimbangan ini menyebabkan penurunan dalam kegembiraan pekerjaan, terutama di sektor berorientasi perkhidmatan dan mereka yang memiliki anak kecil.
“Pekerja yang bekerja untuk organisasi kecil hingga sederhana juga menilai kegembiraan pekerjaan mereka lebih rendah.
“Hampir tidak ada yang tidak terkesan dengan pandemik Covid-19. Menurut tinjauan, 9 dari 10 rakyat Malaysia merasakan kesan buruk dari krisis ini di tempat kerja mereka.”
Menurut kajian itu, kira-kira 66% pekerja turut berdepan penambahan skop kerja, terutama pekerja berpendapatan lebih tinggi di organisasi lebih besar.
Secara perbandingan, penurunan skop kerja turut dirasai pekerja dari sektor hospitaliti dan katering (+45%) dan seni bina dan pembinaan (+36%).
Industri hospitaliti dan pembinaan merupakan yang paling teruk terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa sebahagian besar sektor ekonomi ditutup.
JobStreet mempunyai kira-kira 15 juta pencari kerja dari Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia dan Vietnam serta 230,000 majikan dalam pangkalan datanya.
Syarikat itu turut memulakan inisiatif #WorkNow bagi membantu pencari kerja yang terjejas akibat Covid-19 untuk mencari pekerjaan. – 24 Jun, 2020.
Komen