Membendung masalah sosial di Keramat melalui Al-Quran


Asila Jalil

Pelajar-pelajar tahfiz ketika pelancaran Keramat Lab yang ditubuhkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Disember, 2017.

SATU program kesedaran iaitu “Keramat Lab” bertujuan mempromosikan nilai-nilai murni dalam institusi keluarga di komuniti Kampung Datuk Keramat melalui Al-Quran telah dilancarkan hari ini.

Ditubuhkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, ketua pegawai eksekutifnya, Marhaini Yusoff berkata program itu adalah untuk mengubah minda masyarakat untuk menyintai nilai-nilai murni yang diajar dalam Al-Quran.

“Kami mempunyai program yang ditetapkan untuk 12 bulan dan menjemput Rumah Ngaji serta beberapa pertubuhan lain untuk menyertai kami,” katanya pada majlis pelancaran Keramat Lab hari ini.

Marhaini berkata sesi yang menumpu kepada setiap individu dalam keluarga dan peranan mereka akan diadakan.

Bacaan Al-Quran selama sejam semasa setiap sesi juga terkandung dalam program itu.

“Ini seolah-olah mereka ke sini untuk berkelah dan menerima input dari Al-Quran,” kata Marhaini.

Katanya lagi, program itu telah dirancang sejak 2016 dan asalnya adalah untuk seluruh negara. 

Bagaimanapun, tragedi kebakaran sekolah tahfiz Darul Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa menyebabkan Marhaini dan pasukannya mengambil keputusan untuk menumpukan hanya satu kawasan sebagai model untuk diikuti di seluruh negara.

“Buat masa ini kami mesasarkan 100 keluarga untuk menyertai kami. Kami berharap ini akan menjadi momentum berterusan dan satu ‘wake up call’ untuk semua orang di Keramat,” tambah Marhaini.

Kebakaran di sekolah tahfiz itu didakwa disebabkan oleh tujuh remaja.

Mereka berada di bawah umur dengan salah seorang dari mereka berumur 11 tahun. Ada di antara mereka telah diuji positif untuk penyalahgunaan dadah.

Antara aktiviti yang terkandung dalam projek itu ialah kelas mengaji dan terjemahan Al-Quran secara percuma serta aktiviti transformasi bagi 1,000 remaja dan ibu bapa. 

Turut dilaporkan sebelum ini salah seorang ibu mangsa, Hartini Abdul Ghani terlibat dalam projek itu.

Hartini berkata kematian anaknya, Nik Mohamed Ridzuan Nik Azalan, 12, memberinya kesedaran bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengawal masalah sosial yang membelenggu penduduk di Kampung Datuk Keramat, yang terkenal kerana keganasan, penyalahgunaan dadah dan masalah sosial. – 2 Disember, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen