Pasar malam PJ beroperasi dua hari seminggu


Ravin Palanisamy

Pasar malam SS2 Petaling Jaya akan beroperasi pada Isnin dan Selasa dan ia akan diteruskan sehingga situasi Covid-19 dalam negara stabil.

PASAR malam di SS2 dan SS3 Petaling Jaya akan beroperasi dua kali seminggu bagi memudahkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berikutan penularan wabak Covid-19.

Ia juga bagi memberi ruang kepada semua peniaga untuk menjual barangan mereka, memandangkan SOP menetapkan jarak 1.5 meter antara gerai.

Syarat berkenaan mengurangkan jumlah peniaga, namun perkara itu diatasi apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencadangkan penyelesaian dua hari kepada Persatuan Penaja dan Peniaga Pasar Malam Subang dan Petaling Jaya.

Naib pengerusinya Wong Ying Fat memberitahu The Malaysian Insight, pasar malam SS2 akan beroperasi pada hari Isnin dan Selasa.

Menurutnya, MBPJ memaklumkan kepada pihak persatuan, syarat ini akan diteruskan sehingga situasi Covid-19 di negara ini stabil.

Bagaimanapun, ada segelintir peniaga yang merasakan mereka yang beroperasi pada Selasa tidak akan mendapat keuntungan sebagaimana mereka yang berniaga pada hari Isnin.

“Semua orang tahu pasar malam SS2 diadakan pada Isnin. Kebanyakan penduduk ingat dan hanya datang pada Isnin sahaja.

“Mereka yang berniaga pada Selasa tidak akan banyak untung berbanding yang berniaga pada Isnin, walaupun mereka diberi peluang untuk beroperasi,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Pembahagian jadual dibuat melalui cabutan di pejabat MBPJ ketika sesi taklimat dua minggu lalu.

Peniaga dikategorikan mengikut kumpulan berdasarkan nombor tapak mereka, dengan nombor ganjil dan genap diasingkan. Mereka yang mendapat nombor genap akan beroperasi pada Isnin manakala yang mendapat nombor ganjil pada Selasa.

Peniaga, Aw Kum Chun berpendapat cadangan untuk pasar malam beroperasi dua kali seminggu itu lebih selamat untuk semua peniaga.  – 24 Jun, 2020.

Wong kini sedang mendapatkan maklum balas daripada ahli persatuan untuk mencadangkan dua kumpulan itu beroperasi pada Isnin mengikut giliran, dan mengatakan ia lebih adil.

“Sekiranya kita gilirkan peniaga, maka semua peniaga akan dapat berniaga pada dua Isnin setiap bulan.

“Itu lebih adil berbanding ada yang tidak dapat berniaga pada Isnin. Saya pasti cadangan ini akan dipersetujui oleh semua,” katanya.

Terdapat 600 tapak niaga di pasar malam SS2 dengan lebih 500 peniaga.

Wong berkata, MBPJ sepatutnya membuat undian menggunakan nombor lesen peniaga, kerana seorang pemegang lesen boleh memiliki lebih daripada satu tapak di bawah nombor itu.

“Dengan membuat undian mengikut tapak, ada yang dapat beroperasi pada kedua-dua hari yang dicadangkan. Mereka yang hanya ada satu tapak tidak akan berpeluang, terutamanya jika mereka terpaksa berniaga pada Selasa,” katanya dan menambah perstauan akan membangkitkan isu berkenaan kepada MBPJ.

Pasar malam dibenarkan untuk menyambung semula operasi dengan penjarakan sosial sejak 15 Jun, di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Kebajikan Pasar Malam SS3 Jesmond Lee berkata, masalah yang sama turut dihadapi di pasar malam SS3.

Pasar malam SS3 beroperasi setiap Selasa, dan menurut Lee kini MBPJ memberi mereka berniaga dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu.

Peniaga roti, Ken Lee bersetuju dengan langkah untuk membenarkan pasar malam beroperasi dua kali seminggu. – 24 Jun, 2020.

Lee berkata, pasar malam SS3 mempunyai lebih 300 gerai dan perbincangan akan diadakan dengan peniaga berhubung hari mereka dibenarkan berniaga.

Ini kerana sukar untuk peniaga yang memiliki lebih dua tapak untuk mematuhi penjarakan sosial.

“Ada yang menjual sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan. Jadi, mereka mungkin memiliki dua atau tiga tapak. Sukar untuk mereka meletakkan semua barangan dalam satu tapak.”

Sementara itu, peniaga di pasar malam SS2 kebanyakannya mengalu-alukan keputusan untuk membenarkan operasi dua malam.

Ken Lee, 39 yang menjual roti di pasar malam SS2 berkata, beliau memahami keperluan untuk penjarakan sosial.

“Dengan beroperasi dua hari, ia memberi peluang untuk semua peniaga menjana pendapatan.

“Ia lebih baik daripada membenarkan segelintir gerai sahaja beroperasi,” katanya.

Seorang lagi peniaga Aw Kum Chum, 41, juga bersetuju dengan pandangan Ken dan berkata keputusan itu lebih selamat untuk semua.

“Saya pasti pengguna akan tahu pasar malam beroperasi dua malam. Ini adalah kebiasaan baharu dan mereka perlu menerimanya.”

Keputusan untuk membenarkan pasar malam beroperasi juga bergantung kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, walaupun Putrajaya telah membenarkannya.

Setakat ini, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan membenarkan pasar malam beroperasi secara berperingkat. – 24 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen