Kluster gereja Kuching diisytihar tamat, kata KP Kesihatan


Bede Hong

Kluster gereja di Kuching antara terawal dikesan dengan 191 kes positif dikesan daripada 2,751 orang yang disaring. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2020.

KLUSTER gereja Kuching yang dikesan pada 15 Mac diisytiharkan tamat daripada jangkitan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Kluster yang merupakan antara paling awal dikesan di Malaysia, menyaksikan sebanyak 191 kes positif dikesan daripada 2,751 orang yang disaring.

Tiga kematian dilaporkan dalam kluster ini dengan 12 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), kata Noor Hisham.

Satu daripada kematian itu melibatkan rakyat Malaysia pertama yang meninggal dunia akibat Covid-19 dan dilaporkan pada 17 Mac. Mangsa adalah seorang paderi berusia 60 tahun dari sebuah gereja di Kuching.

Dua kematian lain adalah kematian ke-37 dan ke-67 akibat koronavirus.

“Kluster ini melibatkan lima generasi dari pelbagai tempat di Sarawak,” kata Noor Hisham.

“Ketika ini, kluster sudah tamat. Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak serta semua pegawai yang berkhidmat dalam pelbagai aktiviti untuk mengekang kluster tersebut.”

Jumlah kematian semasa kekal pada 121 orang dan tiada kematian dilaporkan hari ini. – 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen