MALAYSIA hari ini melaporkan tiga kes koronavirus baru - paling rendah sejak rekod terendah dengan dua kes baharu pada 10 Jun, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam satu kenyataan, ketua pengarah kesihatan berkata jumlah kematian masih 121 orang.
“Kes baru hari ini menjadikan jumlah pesakit dijangkiti di seluruh negara setakat ini kepada 8,590, dengan 283 kes aktif.
“Sembilan pesakit pulih hari ini, menjadikan jumlah pesakit yang pulih setakat ini kepada 8,186 orang, atau 95,3% daripada jumlah kes,” katanya dalam kenyataan itu.
Katanya, tiga pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) tanpa memerlukan sokongan pernafasan.
Tiga kes baharu itu melibatkan jangkitan tempatan. Tiada kes import yang dilaporkan hari ini.
Satu kes, yang melibatkan warga asing, dilaporkan di Negeri Sembilan, daripada kluster Pedas, yang berpunca daripada pekerja kilang ayam.
Dua kes lain adalah di Sabah, satu melibatkan warga asing dan satu lagi rakyat Malaysia berkaitan kes yang meninggal dunia di rumah - seorang wanita berusia 96 tahun di Kota Kinabalu minggu lalu. Kedua-dua kes baharu itu adalah ahli keluarga si mati. – 23 Jun, 2020.
Komen