SINGAPURA mengesahkan 119 kes jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan majoritinya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 42,432 kes.
“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat tiga kes baharu di dalam komuniti tempatan, seorang daripada mereka ialah pemastautin tetap dan dua lagi pemegang pas kerja,” kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam laporan ringkas tengah harinya, di Singapura hari ini.
Dalam laporan lengkap MOH lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,824 sebagai kes berkaitan komuniti, 581 kes dari luar dan 39,908 kes melibatkan pekerja asing di asrama.
Setakat tengah hari semalam, 35,590 atau 84% daripada jumlah pesakit sudah pulih sepenuhnya dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.
Masih ada lagi 200 kes disahkan di hospital pada Isnin, dengan seorang daripadanya dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di unit rawatan rapi, kata kementerian itu.
Ia berkata 6,497 yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal adalah sihat tetapi didapati masih positif Covid-19 dalam ujian, telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.
Setakat ini, 26 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac lepas.
Satu kluster baharu dikenal pasti pada Isnin, sebuah asrama beralamat di 204 Tagore Lane. – Bernama, 23 Jun, 2020.
Komen