NOH Omar dicalon sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang baharu, kata pembantunya, tidak sampai seminggu selepas melepaskan jawatan sebagai pengerusi anak syarikat Petronas, MISC Bhd.
Pegawai Noh mengesahkan kepada The Malaysian Insight, ahli Parlimen Tanjong Karang itu sudah menerima surat pencalonannya, yang akan diputuskan minggu depan.
“Betul, surat sudah terima dua hari lepas,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Noh akan menggantikan Hazimah Zainuddin yang dilantik pengerusi PUNB pada September 2018.
Hazimah, pengasas sebuah syarikat pengedar alat ganti automotif, adalah seorang usahawan yang disegani dan terlibat dalam beberapa badan penasihat keusahawanan serta majlis perniagaan di Malaysia, menggantikan bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam yang letak jawatan pada akhir Jun 2018.
Sementara itu, seorang sumber pengurusan kanan PUNB mengesahkan kepada The Malaysian Insight, Hazimah memaklumkan kepada mereka pada Jumaat lalu bahawa Noh akan dilantik menggantikan beliau.
Ahad lepas, tokoh wartawan A Kadir Jasin mendedahkan beliau mendapat maklumat seorang ahli politik akan mengambil alih tempat Hazimah, yang diminta mengosongkan jawatannya serta merta.
PUNB ialah sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 1991 bertujuan melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.
Ia menyediakan pelbagai program latihan dan rundingan keusahawanan serta skim pinjaman kepada usahawan Bumiputera, kecil dan sederhana.
Noh letak jawatan pengerusi MISC Bhd hanya selepas 17 hari dilantik.
Beliau berundur kerana jawatan di MISC lebih sesuai untuk golongan profesional atau pesara politik, katanya seperti dipetik Sinar Harian.
“Apabila dilantik sesuatu jawatan, saya perlu melihat sumbangan dan perkhidmatan yang dapat diberikan kepada rakyat dan menguruskan dasar kerajaan.
“Sebagai pengerusi MISC, walaupun elaunnya RM30,000, ia tidak memenuhi tujuan sebagai ahli Parlimen, saya perlu memikirkan sumbangan yang dapat saya berikan bukan sahaja kepada penduduk Tanjung Karang tetapi juga negara,” katanya.
Semalam, Barisan Nasional Selangor mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional menawarkan Noh jawatan lain yang lebih sesuai. – 23 Jun, 2020.
Komen