PM Singapura umum bubar Parlimen, pilihan raya di tengah Covid-19


Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan Parlimen dibubarkan empat hari selepas melonggarkan lagi sekatan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 yang bermula pada 7 April lalu. – Gambar EPA, 23 Jun, 2020.

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan Parlimen republik itu telah dibubarkan untuk membuka jalan pilihan raya, di tengah pandemik Covid-19 yang membawa republik itu ke kancah krisis ekonomi terburuk.

Dalam pengumuman yang disiarkan di televisyen republik, Lee berkata beliau hari ini menasihati Presiden Halimah Yacob untuk membubarkan Parlimen dan mengeluarkan writ pilihan raya.

Katanya, pilihan raya itu akan memberi peluang kepada rakyat untuk memberi mandat baharu kepada kerajaan.

Lee membuat pengumuman itu empat hari selepas melonggarkan lagi sekatan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 yang bermula pada 7 April lalu.

Sepanjang menghadapi pandemik, pentadbiran Lee sudah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah S$92.9 bilion (RM285.47 bilion) untuk menangani kesan Covid-19 ke atas ekonomi republik.

Mandat Parlimen sekarang sepatutnya berakhir pada April 2021.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan presiden bersetuju penamaan calon ditetapkan pada Selasa, 30 Jun.

Suruhanjaya pilihan raya yang menerima writ pilihan raya daripada presiden menetapkan hari pengundian pada 10 Julai. 

Hari itu ditetapkan sebagai cuti umum.

Pilihan raya umum itu akan menyaksikan pemilihan 93 ahli parlimen (MP), iaitu pertambahan berbanding 89 MP sebelum ini.  

Wakil-wakil tersebut adalah untuk 14 Kawasan Pilihan Raya Kerusi Tunggal (SMC) dan 17 Kawasan Pilihan Raya Kumpulan Perwakilan (GRC).  

Lee berkata Singapura bukan negara pertama mengadakan pilihan raya ketika penularan pandemik Covid-19 memandangkan negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan beberapa negara Eropah telahpun berbuat demikian.

“Saya yakin, dengan segala langkah pencegahan yang disusun dan dilaksana, kita boleh mengadakan pilihan raya yang teratur dan selamat,” katanya.  

Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 di Singapura adalah sebanyak 42,432 kes dengan sebahagian besar melibatkan warga asing yang tinggal di asrama.

Kes Covid-19 pertama di republik ini dikesan pada 23 Januari lalu.

Terkini, Singapura mengklasifikasikan 1,824 kes sebagai jangkitan dalam komuniti, 581 kes import dan 39,908 kes melibatkan warga asing di asrama.

Kira-kira 84 peratus pesakit daripada keseluruhan kes yang dilaporkan telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital atau pusat jagaan komuniti.

Setakat ini Singapura melaporkan 26 kematian akibat komplikasi Covid-19. – 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen