SEPANJANG penguatkasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berulang kali menggesa Putrajaya melaksanakan Peraturan Kecemasan Pekerjaan yang akan mencegah majikan memberhentikan pekerja.
Ini akan menjadi langkah jangka pendek bagi melindungi pekerjaan dan pekerja serta majikan, sementara kerajaan memberikan pelan keluar jangka panjang dari PKP ke arah operasi normal.
Putrajaya memberikan banyak langkah menerusi pakej rangsangan ekonomi Prihatin sebanyak RM260 bilion dan Penjana RM35 bilion.
Ini termasuk program subsidi gaji, di mana gaji pekerja sebahagiannya disubsidikan oleh kerajaan dengan syarat majikan tidak memberhentikan pekerja selama enam bulan. Kerajaan berkata langkah itu dapat menyelamatkan lebih dua juta pekerjaan.
Bagaimanapun, MTUCmahu kerajaan menjadikan pemberhentian pekerja sebagai satu tindakan kesalahan di bawah peraturan itu yang boleh dikuatkuasakan oleh Kementerian Sumber Manusia.
Dalam satu surat kepada menteri M Saravanan pada 14 April, MTUC berkata di bawah peraturan itu, kementerian berhak menghalang majikan memberhentikan pekerja, mengenakan potongan gaji dan memaksa cuti wajib bagi tempoh setahun, hingga April 20201.
Mana-mana majikan yang melanggar peraturan itu boleh didenda RM10,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya.
Namun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan melabel tuntutan MTUC sebagai tidak munasabah.
“Syarikat tidak boleh dipaksa terus menggaji pekerja jika ada lebihan tenaga kerja.
“Kebanyakan majikan terutama syarikat mikro yang menggaji kurang lima pekerja, terjejas teruk ketika PKP dan lebih separuh atau kira-kira 650,000 majikan terbabit terpaksa gulung tikar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Masalah aliran tunai yangteruk menjadi makin buruk bila kerajaan bertegas supaya majikan membayar gaji penuh dan elaun ketika tempoh PKP,” kata Shamsuddin.
Beliau berkata ramai majika bergelut untuk mencari pendapatan ketika PKP bersyarat (PKPB) kerana mereka hanya boleh beroperasi pada kapasiti 50%, sementara pada masa sama terpaksa patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Semua kesukaran dan sekatan ini menyebabkan jumlah pengangguran meningkat pada April kepada 780,000 daripada 610,000 pada Mac,” katanya.
Shamsuddin berkata kesatuan tidak sepatutnya menuduh majikan “gembira” apabila memberhentikan pekerja.
“Majikan tahu kos sangat tinggi untuk melakukan pemberhentian pekerja kerana pekerja terlatih terpaksa dilepaskan ketika keadaan begini. Majikan akan perlu mengambil pekerja baharu dan mula sekali lagi bila ekonomi pulih nanti.
“Itu sebabnya pemberhentian pekerja hanya akan dilakukan sebagai langkah terakhir,” katanya.
Katanya, dalam keadaan negara melalui fasa pemulihan PKP sekarang pun, majikan tidak dapat menampung kerugian kerana jumlah permintaan dan perkhidmatan yang rendah bagi pasaran domestik dan eksport. – 23 Jun, 2020.
Komen