Angka kematian Covid-19 AS boleh melebihi 150,000, kata Trump


Boleh mencecah 150,000, mungkin juga lebih, kata Presiden Donald Trump mengenai angka kematian Covid-19 di AS. – Gambar AFP, 23 Jun, 2020.

ANGKA kematian akibat pandemik Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) boleh mencecah lebih 150,000, kata Presiden Donald Trump semalam.

“Boleh mencecah 150,000. Mungkin lebih,” kata Trump dalam rancangan temu bual bersama stesen televisyen Spectrum News.

“Tetapi kita mungkin hilang dua juta atau empat juta nyawa (tanpa pencegahan).”

Kajian oleh Imperial College of London pada pertengahan Mac memberi amaran seramai 2.2 juta orang dijangka maut di AS jika tiada langkah mencegah penularan wabak Covid-19 diambil.

Setakat ini seramai 120,000 orang meninggal dunia akibat virus itu, menurut Johns Hopkins University.

“Kita telah lakukan yang terbaik dan sudah tiba masa menggerakkan ekonomi negara,” kata Trump.

Dalam temu bual itu Trump juga ditanya mengenai kempen pilihan rayanya yang tetap dijalankan walaupun jangkitan masih meningkat di negeri-negeri sebelah selatan dan barat AS.

“Kita memang sentiasa bimbangkan tentang keselamatan,” katanya.

Trump yang dijangka berdepan persaingan sengit pada pilihan raya presiden November ini dijangka akan menghadiri acara “Students for Trump” di Phoenix hari ini.

Kempen pertamanya diadakan di Tulsa, Oklahoma, pada Sabtu lalu. – AFP, 23 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen