MALAYSIA menghentikan penggunaan ubat anti-malaria hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19 kerana didapati tidak berkesan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Pada awalnya kita menggunakannya kerana mempunyai sifat anti-radang.
“Tetapi selepas memeriksa kembali data 500 kes (yang menggunakan ubat itu) kami mendapati ia tidak ada kesan positif,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.
“Oleh itu kami telah hentikan guna hydroxychloroquine,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga sudah diberitahu bahawa 30% mereka yang menggunakan ubat itu mengalami komplikasi.
Keputusan Malaysia untuk berhenti menggunakan ubat itu berdasarkan data terkini yang menunjukkan ketidakberkesanannya, katanya.
Selain Amerika Syarikat Malaysia merupakan salah satu daripada beberapa negara yang menggunakan hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19 di tengah-tengah pertikaian mengenai keberkesanannya.
Pada permulaan pandemik Covid-19, Dr Noor Hisham berkata Malaysia menggunakan ubat itu pada pesakit bergejala ringan atau tahap 1 dan 2 Covid-19 kerana ubat itu membantu mencegah jangkitan mereka dari bertambah buruk.
Tetapi pada 15 Jun Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat (AS) membatalkan kelulusan daruratnya mengenai penggunaan hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19.
FDA AS berkata penyelidik gagal menemui faedah untuk merawat pesakit Covid-19 dengan hydroxychloroquine. – 19 Jun, 2020.
Komen