15 kes baharu Covid-19, 21 kes pulih


Chan Kok Leong

Petugas kesihatan membawa warga asing yang bekerja di Kampung Baru untuk dibawa menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 14 April lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2020.

MALAYSIA merekodkan 15 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 8,587, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

21 kes pulih turut direkodkan hari ini.

“Jumlah kes aktif menurun kepada 289 selepas 21 didiscaj hari ini,” kata ketua pengarah kesihatan itu di Putrajaya hari ini.

Daripada 15 kes baharu berkenaan, dua adalah kes import manakala 13 lagi melibatkan warga asing,” kata Dr Noor Hisham.

Setakat ini, hanya dua kes Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala tiada penambahan kes kematian yang kekal 121.

“Daripada 13 kes melibatkan warga tempatan, satu dikesan ketika ujian pra-pembedahan di Hospital Selayang manakala 12 lagi adalah daripada kluster Pedas di Negeri Sembilan.”

Menurutnya, jumlah kes positif kluster Pedas kini adalah 316, terdiri daripada 14 warga Malaysia dan 312 warga asing.

Daripada 312, 163 adalah warganegara Nepal, 67 Bangladesh, 35 Myanmar, 31 Indonesia, empat dari India dan satu dari Vietnam dan satu Kemboja.– 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen