Pawagam dan teater dibenar beroperasi semula 1 Julai


Alfian Z.M. Tahir

Coliseum Theatre, salah satu pawagam tertua di negara ini yang dibina pada tahun 1920 ditutup buat sementara waktu akibat wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2020.

PAWAGAM dan acara secara langsung termasuk pertunjukkan teater dibenar untuk kembali beroperasi mulai 1 Julai.

Bagaimanapun aktiviti ini terhad kepada 250 orang sahaja, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Acara secara langsung juga mesti diadakan di kawasan tertutup di mana penjarakan sosial dan kawalan orang ramai dapat dipraktikkan.

“Kerajaan juga setuju membenarkan pawagam kembali beroperasi termasuk teater.

“Pertunjukan secara langsung mesti diadakan di dewan atau arena tertutup,” katanya pada taklimat mengenai perintah kawalan pergerakan pemulihan hari ini. \

Malaysia kini dalam proses pemulihan selepas tiga bulan perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPB) dikuatkuasakan pada 10 Jun ketika Putrajaya berusaha membuka ekonomi negara dengan membolehkan hampir semua sektor perniagaan beroperasi semula.

Sebelum PKPB negara berada di bawah sekatan larangan pergerakan yang ketat termasuk perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan.

Di bawah PKPB restoran dibenarkan beroperasi sehingga tengah malam dan orang ramai juga dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri. – 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen