Pakar beri amaran murid mungkin tertekan kembali ke sekolah


Angie Tan

Kaunselor berkata murid boleh berubah menjadi pemalu dan pendiam akibat lama tidak berinteraksi dengan rakan sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2020.

KAUNSELOR dan pakar psikologi memberi amaran sesetengah murid mungkin akan mengalami tekanan emosi ke sekolah selepas lama bercuti susulan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini kerana murid percaya sekolah atau tempat lain boleh menyebabkan mereka mudah dijangkiti virus Covid-19, kata mereka.

Sambil memberi amaran murid mungkin tertekan apabila kembali semula bersekolah, mereka mengingatkan supaya ibu bapa memantau tingkah laku anak dan beri perhatian jika terdapat sebarang perubahan emosi.

Kaunselor Alice Lee berkata murid boleh berubah menjadi pemalu dan pendiam akibat lama tidak berinteraksi dengan rakan sekolah.

Pakar psikologi Li Xinjun pula berkata kanak-kanak mungkin takut untuk keluar rumah kerana percaya mereka mudah dijangkiti virus Covid-19. Tambah beliau, kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah mengalami tekanan emosi dan kebimbangan.

“Menunggu ibu bapa jemput mereka dari sekolah mungkin akan menyebabkan mereka tertekan, rasa gelisah dan bimbang.”

Li juga mengingatkan ibu bapa supaya bertenang jika anak mereka mula menunjukkan tingkah laku yang pelik seperti enggan atau sering mencari alasan tidak mahu keluar dan mudah marah.

Ibu bapa hendaklah menenangkan anak dan memberi jaminan bahawa kini selamat untuk mereka keluar dari rumah, ujarnya.

“Ramai ibu bapa fikir memang normal jika anak tidak mahu ke sekolah selepas terlalu lama bercuti.

“Tetapi ini adalah tanda-tanda yang perlu ibu bapa beri perhatian,” kata Li.

Beliau menyarankan ibu bapa perlahan-lahan dedahkan anak kepada persekitaran luar dengan cara membawa mereka ke taman, pusat beli belah atau melakukan aktiviti luar, supaya anak yakin kini selamat berada di luar rumah.

Ibu kepada dua anak itu berkata beliau juga sedang melakukan perkara yang sama kepada anak-anaknya.

“Anak saya yang bongsu masih perlukan sedikit galakan. Kami juga jelaskan kepada anak kenapa suhu badan perlu diperiksa dan direkodkan apabila ke tempat seperti pasar raya.

“Kita perlu jelaskan kenapa dan apabila mereka faham, perasaan takut itu akan berkurangan.”

Kira-kira 1.6 bilion kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia terjejas akibat perintah sekatan pergerakan dan penutupan sekolah di 145 negara, menurut Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef).

Ketika peringkat awal pandemik Covid-19, terdapat laporan kanak-kanak bimbang terpisah dari ibu bapa serta rakan, dan dijangkiti malah meninggal dunia kerana virus itu.

Seorang guru, Kuek Ser Kuang Hong, berkata kanak-kanak boleh mengalami kesan emosi berpanjangan jika lima bulan tidak ke sekolah.

Bahkan akan menjadi lebih teruk apabila ditinggalkan keseorangan di rumah semasa ibu bapa bekerja, katanya.

“Tinggal berseorangan di rumah dan tiada kawan untuk berbual akan menjejaskan kanak-kanak.”

Guru sekolah rendah itu juga berkata berdasarkan pemerhatiannya sepanjang mengajar dalam talian semasa PKP murid nampak tidak bersemangat atau tidak aktif berbanding berada di sekolah.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin pada 10 Jun lalu mengumumkan semua sekolah di seluruh negara dibuka mulai 24 Jun ini, melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara. – 22 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen