16 kes baharu Covid-19, 10 kes pulih 


Ragananthini Vethasalam

MALAYSIA hari ini nmencatatkan angka rendah dalam kes baharu dan kes pulih Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata hanya 16 kes baharu dilaporkan setakat tengah hari hari ini dalam tempoh 24 jam lepas dengan tiga daripadanya merupakan kes import.

Katanya 13 lagi merupakan kes penularan tempatan melibatkan sembilan warga asing dan empat rakyat Malaysia.

“Enam daripada sembilan kes warga asing dikaitkan dengan kluster Pedas di Negeri Sembilan manakala dua lagi kes berkait dengan kluster kontrak pembersihan di Selangor.

“Satu lagi kes direkodkan di pusat tahanan imigresen di Tawau, Sabah melibatkan tahanan yang menunggu giliran untuk dihantar pulang ke Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kes melibatkan rakyat Malaysia, dua kes dari kluster Kidurong di Sarawak yang membabitkan kes kontak rapat.

Dr Noor Hisham berkata, kes ketiga rakyat tempatan melibatkan seorang banduan yang ditahan di sebuah lokap di Melaka manakala kes keempat dicatatkan ketika pesakit menjalani ujian pemeriksaan pembedahan di sebuah hospital di Johor.

Beliau berkata keseluruhan kes jangkitan Covid-19 kini berjumlah 8,572 manakala kes aktif pula sebanyak 295.

“Sebanyak 10 kes pulih direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan keseluruhan kes pulih  8,156 atau  95.1% daripada keseluruhan kes jangkitan.

“Tiada kematian baharu direkodkan, sekali gus mengekalkan angka korban 121.” – 21 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen