Pasar raya diarah tutup kes gagal patuh SOP


Semakan pasukan keselamatan mendapati pengusahanya tidak membuat kawalan menyebabkan pelanggan tidak mencatat nama dan mengambil bacaan suhu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2020.

SEBUAH pasar raya di Taiping diarah tutup dan pengusahanya dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi tetap (SOP) yang ditetapkan.

Laporan Sinar Harian menyebut, semakan pasukan keselamatan mendapati pengusahanya tidak membuat kawalan menyebabkan pelanggan tidak mencatat nama dan mengambil bacaan suhu.

Kenyataan Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat yang dipetik dalam laporan itu menyebut, ia hasil operasi di kawasan Aulong petang ini.

“Pasukan membuat pemeriksaan pematuhan (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati premis itu gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Premis itu menyediakan buku dan alat bacaan suhu pelanggan tetapi tiada kawalan menyebabkan ramai pelanggan tidak mencatat nama dan mengambil bacaan suhu sebelum memasuki pasar raya.”

Katanya, operasi dijalankan pegawai Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Taiping, Rela dan Angkatan Tentera Malaysia.

Premis berkenaan diarah tututp mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan kompaun bawah Seksyen 22(b) akta sama.

“Pasar raya tersebut akan dibenarkan beroperasi selepas pemilik mengambil tindakan memenuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – 21 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen