Pemilik premis Plaza Rakyat harap Perikatan hidupkan semula projek


Noel Achariam

Projek Plaza Rakyat pembangunan bercampur terbengkalai pada 1998. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2020.

PEMILIK premis di Plaza Rakyat berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghidupkan semula projek pembangunan bercampur di tengah ibu kota yang terbengkalai selama lebih dua dekad.

Mereka berkata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa harus mempertimbangkan rayuan mereka sambil menambah wajar jika pihak berkuasa meneruskan pelan untuk menghidupkan semula projek itu.

“Siapa pun yang mengambil alih Putrajaya harus mengkaji pembangunan yang terbengkalai.

“Kami faham negara ini berada di bawah pemulihan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Kami berharap kerajaan baharu dapat menyelesaikannya,” kata jurucakap jawatankuasa sementara Plaza Rakyat Ng Pang Wah kepada The Malaysian Insight.

Pada November, bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata projek itu, yang terletak di Jalan Pudu, akan dibina oleh pemaju baharu, dengan arahan pembangunan dibenarkan selepas caj tertentu yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibayar.

Pemilik lot berkata kes ini sudah terlalu lama dan mereka berharap dapat melihat beberapa progres kerana ramai yang gagal menghidupkan semula projek ini pada masa lalu.

Ng berkata mereka berharap agar Annuar mempunyai masa untuk meneliti perkara ini, yang selama ini tidak dapat diselesaikan oleh pentadbiran sebelumnya.

“Kerajaan sebelum ini berusaha menangani masalah ini dan menghidupkan kembali projek tetapi tidak berhasil.

“Walaupun dengan perubahan kerajaan, kami berharap PN akan mengutamakan projek ini kerana kami sudah menunggu selama bertahun-tahun.”

Beliau juga berharap agar PN lebih cekap dan amanah dalam menyelesaikan masalah ini.

Ng menambah mereka akan meminta pertemuan dengan Annuar untuk membincangkan masalah tersebut.

Dilaporkan pada Mei 2019, Guangzhou Xu Zhuo Enterprise Management Co Ltd bercadang membeli saham 43% dalam pemaju projek Profit Consortium Sdn Bhd.

Firma yang berpangkalan di China itu dilaporkan akan melunaskan hutang yang belum dijelaskan kepada DBKL dan memulakan semula projek tersebut.

Plaza Rakyat adalah pembangunan bercampur yang merangkumi menara pejabat 79 tingkat, blok kondominium 46 tingkat, hotel 24 tingkat dan pusat membeli-belah tujuh tingkat.

Projek di Jalan Pudu terbengkalai pada 1998, berikutan krisis kewangan Asia 1997. – 21 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen