MENTERI Kesihatan Dr Adham Baba mahu semua pihak berhenti membuat spekulasi mengenai hubungannya dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kerana ia hanya akan menjejaskan usaha memerangi pandemik Covid-19.
Adham memberitahu akhbar berbahasa Melayu, Berita Harian yang mereka semua bersatu dalam pertarungan itu kerana sebarang gangguan atau pertikaian akan menyebabkan negara kerugian dalam perang Covid-19.
“Ketika kita bertempur melawan Covid-19, kita tidak boleh berbalah.
“Tentera kita mesti berada di pihah yang sama. Mesti ada delegasi kerja. Paling penting adalah melihat polisi diperkenalkan,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Beliau berkata sebagai menteri baharu yang dilantik pada 10 Mac, beliau tidak punya banyak waktu untuk melihat mengenai polisi dalam kementerian.
“Tumpuan saya adalah untuk mempersiapkan jeneral saya untuk melawan Covid-19.
“Alhamdullilah, saya mendapat kerjasama di seluruh kementerian tetapi di bawah saya, ada juga ketua pengarah dan ketua setiausaha yang memainkan peranan penting,” katanya.
Adham berkata selain dirinya, individu lain bertanggungjawab menyebarkan maklumat yang tepat adalah Noor Hisham.
Katanya, Noor Hisham perlu bekerjasama rapat dengan media untuk menguruskan aspek komunikasi dan juga sebagai jurucakap utama untuk menyebarkan maklumat.
“Saya meminta KP Kesihatan untuk memberikan data terbaru sebagai cara menangani keraguan kerana informasi yang tidak tepat.
“Beliau juga memastikan saya menjalankan tanggungjawab saya dengan tepat dalam melaksanakan strategi.
“Sebagai ketua, saya adalah tulang belakang kementerian. Justeru, apabila tiba waktunya, saya akan berdepan dengan orang ketika saya menjawab di Parlimen.
“Bukan KP Kesihatan yang akan menjawab di Parlimen, tetapi terserah kepada menteri dan timbalan menteri.” – 21 Jun, 2020.
Komen