PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Sabtu yang beliau menggalakkan pasukan petugas koronavirus memperlahankan ujian, dengan alasan peningkatan ujian menyebabkan lebih banyak kes diketahui.
Presiden mengakui pada beberapa acara bahawa lonjakan Covid-19 di beberapa negeri dapat dijelaskan dengan peningkatan ujian diagnostik.
Pada perhimpunan pertamanya sejak wabak itu memaksa perintah berkurung seluruh negara pada Mac, Trump memberitahu orang ramai di Tulsa, Oklahoma yang ujian itu ibarat pedang dua mata.
AS - yang mempunyai lebih banyak kematian dan kes berbanding negara lain - menjalankan kira-kira 27 juta ujian koronavirus, menjadikannya tempat ke-26 per kapita di dunia.
“Inilah satu keburukannya: Apabila anda melakukan ujian sebanyak itu, anda akan menemui lebih banyak orang, anda akan menemui lebih banyak kes,” kata Trump.
“Jadi saya kata ‘perlahankan ujian.’ Mereka berterusan menjalankan ujian.”
Tidak jelas dari nada Trump sama ada beliau bergurau dengan orang ramai, yang bersorak ketika beliau berucap, atau jika beliau bersikap serius.
Kes koronavirus menyaksikan lonjakan di beberapa negeri, termasuk Oklahoma, dan pegawai kesihatan tempatan meminta Trump menangguhkan perhimpunan, kerana bimbang akan menyumbang kepada penyebaran.
Seramai enam anggota pasukan kempennya di Tulsa menjelang perhimpunan diuji positif Covid-19, kata kempen Trump hanya beberapa jam sebelum presiden naik ke pentas. – AFP, 21 Jun, 2020.
Komen