CHILE semalam menggandakan jumlah kematian akibat Covid-19 di negara itu kepada lebih 7,000 kes menggunakan kaedah kiraan baharu, yang merangkumi kematian kemungkinan disebabkan virus tersebut.
Jumlah kematian di Chile bertambah sebanyak 3,069 orang, kata Rafael Araos dari Kementerian Kesihatan, ketika menjelaskan kaedah baharu yang digunakan kerajaan itu.
Jumlah besar yang tidak dikira menunjukkan jangkitan Covid-19 telah merebak banyak di Chile walaupun telah langkah awal pencegahan diambil.
Santiago kini menjadi bandar keempat yang merekod jumlah kes tertinggi di dunia selepas New York, Moscow dan Sao Paulo, menurut Johns Hopkins University.
Pengumuman Araos itu menamatkan kontroversi dan kekeliaruan mengenai jumlah kematian sebenar akibat Covid-19 di Chile.
Setakat semalam, angka kematian yang disahkan adalah sebanyak 4,075, kes, atau 7,144 jika termasuk kes yang disyaki.
Pada masa akan datang, kerajaan akan mengeluarkan jumlah kes yang disahkan setiap hari dan jumlah mingguan pada Jumaat yang merangkumi kes yang disyaki, kata Araos.
“Rekod harian tidak akan diubah,” tambah Araos.
Menteri Kesihatan baharu Chile, Enrique Paris menegaskan kerajaan tidak berniat untuk menipu rakyat.
“Kerajaan tidak sembunyikan data,” katanya.
Jaime Manalich minggu lalu meletak jawatan sebagai menteri kesihatan susulan menerima kritikan terhadap cara kementeriannya mengira jumlah kematian akibat Covid-19. – AFP, 21 Jun, 2020.
Komen