Hampir 462,000 maut akibat Covid-19 sejak Disember


Brazil merekod angka kematian terbaharu tertinggi dengan 1,206 kes, diikuti Amerika Syarikat (AS) sebanyak 702 kes dan Mexico (647). – Gambar EPA, 21 Jun, 2020.

PANDEMIK Covid-19 sehingga kini meragut 461,665 nyawa sejak mula dikesan di China pada Disember lalu, menurut sumber rasmi yang diperolehi AFP semalam.

Sekurang-kurangnya 8,742,490 kes jangkitan dilaporkan di 196 negara dan wilayah. Daripada jumlah tersebut, 4,064,300 disahkan pulih.

Data rasmi diperoleh daripada pihak berkuasa negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu bagaimanapun mungkin hanya mewakili sebahagian kecil daripada jumlah sebenar kes jangkitan berikutan banyak negara hanya menjalankan ujian ke atas kes serius dan bergejala.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,743 kematian dan 183,333 kes baharu dilaporkan di seluruh dunia. Brazil merekod angka kematian terbaharu tertinggi dengan 1,206 kes, diikuti Amerika Syarikat (AS) sebanyak 702 kes dan Mexico (647).

AS setakat ini negara paling teruk terjejas dilanda wabak Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 119,460 kematian daripada 2,240,617 kes. Sekurang-kurangnya 606,715 orang disahkan sembuh sepenuhnya.

Brazil mengikuti di belakang AS, dengan jumlah keseluruhan kematian 48,954 daripada 1,032,913 kes jangkitan, kemudian Britain (42,589 kematian daripada 303,110 kes), Itali (34,610 kematian daripada 238,275 kes) dan Perancis (29,633 kematian daripada 196,594 kes).

Negara yang mencatat kes tertinggi berbanding jumlah penduduk adalah Belgium dengan 84 kematian per 100,000 penduduk, diikuti Britain (63), Sepanyol (61), Itali (57) dan Sweden 50.

China tidak termasuk Hong Kong and Macau sehingga kini melaporkan 4,634 kematian dan 83,352 kes jangkitan. Seramai 78,410 orang disahkan sembuh sepenuhnya.

Eropah secara keseluruhannya merekodkan 192,432 kematian daripada 2,506,305 kes; AS dan Kanada (127,915 kematian daripada 2,341,576 kes); Amerika Latin dan Caribbean (91,835 kematian daripada 1,966,918 kes); Asia (28,255 kematian daripada 992,857 kes); Asia Barat (13,260 kematian daripada 630,463 kes); Afrika (7,837 kematian daripada 295,528 kes) dan Oceania (131 kematian daripada 8,846 kes). – AFP, 21 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen