AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu menyertai bantahan pihak pembangkang terhadap Speaker Pandikar Amin Mulia dengan mengundi meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberi hak kepada Sabah dan Sarawak, kata ketua pembangkang negeri.
Pandikar melancarkan serangan terbuka kepada Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg apabila berkata perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak penting dan tidak mengikat secara sah.
Pemimpin negeri BN menyertai Abang Johari dalam mengulas komen Pandikar mengenai perjanjian itu.
Bagaimanapun, ahli Parlimen pembangkang Sarawak berkata mencabar pandangan Pandikar adalah sia-sia, kerana ia tidak akan membawa kepada penyelesaian masalah yang dihadapi Sabah dan Sarawak.
“Menjawab melalui akhbar membuang masa. Kita perlu perkara itu dibangkitkan di Parlimen dan memastikan Perlembagaan dipinda.
“Dan Pakatan Harapan (PH) bersedia menyokong pindaan itu,” kata Oscar Ling, ahli Parlimen Sibu daripada DAP.
“Malah perdebatan terbuka antara ketua menteri dan speaker tidak akan membantu jika Perlembagaan tidak dipinda,” katanya.
Dr Kelvin Yii, pembantu khas kepada pemimpin DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata dalam satu kenyataan hari ini ia “ironi” walaupun banyak kritikan ditujukan kepada Pandikar, tiada apa-apa dilakukan, malah oleh para menteri dari negeri Borneo.
“Walaupun dengan penafsiran ‘terpesong’ MA63 oleh speaker, tiada perdana menteri mahupun mana-mana menteri daripada kerajaan persekutuan menggesa penerangan salah tafsirnya,” katanya.
“Saya menggesa Abang Johari supaya tidak membazirkan sebarang usaha berbahas atau meyakinkan rakan-rakan BN yang jelas tidak berniat untuk mengakui status sah kami.
“Saya juga menggesa beliau mengambil satu langkah ke depan – menyokong manifesto PH untuk mengiktiraf status kita, memulangkan autonomi dalam bidang seperti pendidikan, penjagaan kesihatan serta 20% royalti minyak untuk kesejahteraan negeri.”
MA63 adalah perjanjian antarabangsa yang menetapkan syarat dan peraturan yang menyaksikan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju bergabung menjadi Malaysia. UK juga penandatangan.
Perjanjian itu membenarkan autonomi asas Sabah dan Sarawak mengenai perkara seperti bahasa, agama, undang-undang adat, pendidikan dan imigresen. – 1 Disember, 2017.
Komen