KETIKA sektor ekonomi yang sebahagian besarnya beroperasi semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beberapa kumpulan masyarakat sivil masih meneruskan usaha memberi bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan.
Salah satu daripada mereka ialah Tara Foundation yang masih mengedarkan hampir 400 paket makanan kepada mereka yang memerlukan di pusat bandar Kuala Lumpur.
Pengasasnya, Pardip Kumar Kukreja memberitahu The Malaysian Insight walaupun jumlahnya tidak besar jika dibandingkan ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih wujud individu di luar sana yang sangat memerlukan bantuan.
Beliau berkata, usaha beliau tersebut adalah kesinambungan dari “Project Mother” yang dimulakan pada 23 Mac lalu, beberapa hari setelah kerajaan mengumumkan PKP di seluruh negara bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.
Tara Foundation ditubuhkan dengan kerjasama Pure Life Society, Global Hindu Federation, United Malaysian Hindu Voice, Malaysia Hindu Dharma Mamandram, dan Malaysian Narayani Foundation.
Mereka juga turut bekerjasama dengan Persatuan Buddha Bodhi Citta, yang turut membantu menyediakan makanan.
“Persatuan Buddha Bodhi Citta memberi kami setiap hari sekitar 400 bungkus makanan yang dimasak dan kami edarkan kepada gelandangan di Kuala Lumpur.
“Kira-kira 250 bungkus makanan diedarkan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit, dan 150 paket lagi di Kepong,” kata Pardip kepada The Malaysian Insight.
Pardip mengatakan bahawa mereka telah mengedarkan hampir 50,000 bungkusan makanan sejak memulakan projek ini dan ingin meneruskannya hingga Julai.
Beliau berkata beberapa kuil juga turut tampil untuk menyertai inisiatif ini.
“Ini mungkin pertama kali sebanyak 10 kuil bergabung untuk melakukan khidmat seperti ini.
“Ketika keadaan sudah stabil, kuil-kuil berhenti untuk turut serta, dan Persatuan Buddha Bodhi Citta pula tampil.
The United Malaysian Hindu Voice, sebuah kumpulan yang merupakan sebahagian dari Project Mother juga memulakan projek mereka sendiri iaitu Project Achayapatra, di mana mereka mengedarkan barang runcit kepada mereka yang memerlukan selama tempoh PKP.
Penyelarasnya, Naraesh Pillai berkata kumpulan itu masih meneruskan projek tetapi dalam skala yang lebih kecil.
Beliau berkata bahawa tumpuan ketika ini diberikan terhadap keluarga yang benar-benar terkesan dalam tempoh PKPP dan mereka yang berada di luar bandar.
“Kami masih mempunyai peruntukan untuk projek itu.
“Fokus kami sekarang adalah pada keluarga yang sangat memerlukan pertolongan. Ada yang kehilangan pekerjaan, tidak ada pendapatan atau berkurangnya pendapatan kerana krisis ekonomi.
“Keluarga di kawasan luar bandar sering ditinggalkan. Oleh itu, kami ingin membantu golongan ini,” katanya.
Sehingga hari ini, Naraesh berkata bahawa mereka telah membantu mengedarkan bahan makanan kepada hampir 500 keluarga.
Sekumpulan rakan bola sepak di Kuala Lumpur yang mula menolong keluarga-keluarga yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) semasa PKP juga meneruskan usaha mereka untuk mengedarkan barangan runcit.
Vijay Kumar, 35, berkata kumpulan itu masih mengumpulkan wang daripada rakan sepasukan mereka tetapi ketika ini mereka harus mengurangkan jumlah individu yang mereka bantu kerana mereka tidak dapat kumpul bantuan sebanyak yang mereka dapat lakukan ketika tempoh PKP.
“Kami masih melakukan usaha ini, tetapi dalam skala yang sangat kecil. Mungkin kira-kira lima hingga 10 keluarga setiap minggu.
“Pengumpulan bantuan telah berkurang kerana penderma juga hadapi masa yang sukar, tetapi kami akan teruskan sekadar yang kami mampu,” katanya.
Vijay berkata, mereka memberikan bahan makanan asas seperti beras, telur, dan sardin kepada keluarga di PPR Pantai Dalam.
Setakat ini, Vijay berkata bahawa mereka telah membantu hampir 100 keluarga.
Malaysia melalui fasa berbeza dari tempoh PKP sejak 18 Mac lalu bagi melandaikan lengkung pandemik Covid-19.
Negara ini kini berada dalam fasa PKPP yang bermula pada 10 Jun dan akan berterusan sehingga 31 Ogos depan. – 20 Jun, 2020.
Komen