APABILA pandemik Covid-19 memaksa sekolahnya di pedalaman Indonesia ditutup, Henrikus Suroto bersumpah anak muridnya tidak akan tertinggal dalam pendidikan.
Guru itu pun meredah jalan berbukit antara jurang terjal untuk datang ke kampung-kampung petani di Kenalan, di Magelang, Jawa Tengah, tempat yang tidak memungkinkan kelas diteruskan secara dalam talian kerana tiada perkhidmatan Internet.
Bagi sesetengah keluarga, perkhidmatan Internet malah dianggap barang mewah yang mereka tidak mampu.
Henrikus bukan saja mengambil risiko mati atau dijangkiti Covid-19, beliau juga melanggar perintah kerajaan untuk tidak mengadakan kelas secara bersemuka bagi membendung penularan wabak.
“Tak ada sesiapa yang memaksa saya buat macam ini – naluri yang menyuruh saya,” katanya, seperti dipetik AFP.
“Saya rasa bersalah melanggar perintah supaya mengadakan kelas dalam talian. Realitinya, bukan semudah itu di sini.
“Satu-satunya penyelesaian ialah bersama-sama murid, mengajar dari rumah ke rumah,” tambahnya.
Henrikus adalah antara segelintir guru yang menyabung nyawa untuk menyambung pendidikan kepada murid-murid yang terpaksa duduk di rumah ketika usaha pihak berkuasa di Indonesia mengawal penularan Covid-19.
Hampir 70 juta kanak-kanak dan remaja terjejas apabila sekolah ditutup pada pertengahan Mac lalu.

Walaupun pandemik ini menyebabkan peningkatan mendadak pembelajaran dalam talian, terutama di negara-negara kaya, hampir satu pertiga daripada lebih kurang 270 juta penduduk Indonesia tidak mempunyai akses Internet, malah dalam sesetengah keadaan, juga elektrik.
Menurut Henrikus, beliau dan guru-guru yang berziarah dari rumah ke rumah akan memakai pelitup muka. Namun itu tidak juga menjamin mereka tidak dijangkiti atau menjangkiti murid-murid.
Avan Fathurrahman, seorang guru sekolah rendah di Madura, di Jawa Timur, datang kepada 11 murid sehari. Beliau menulis pengalamannya itu dalam satu hantaran di Facebook yang kemudiannya tular.
Beliau mengaku khuatir jatuh sakit.
“Tapi ketakutan saya padam dengan keinginan untuk mengajar,” katanya.
“Saya tidak akan selesa duduk di rumah ketika tahu ada murid-murid saya yang tidak dapat belajar dengan sewajarnya.”
Selain gesaan kerajaan untuk kelas diadakan dalam talian, program pendidikan juga disiarkan di stesen televisyen milik kerajaan.
Menteri Pendidikan Indonesia Nadiem Makarim, yang juga pengasas aplikasi pelbagai perkhidmatan GoJek, mengakui cabaran pembelajaran jarak jauh.
Beliau malah terkejut mendengarkan banyak kawasan pedalaman di republik itu tidak mempunyai akses kepada Internet.
“Kita terpaksa bergantung pada mereka yang turun ke jalan – guru-guru yang mengerah diri mereka untuk mengajar dari rumah ke rumah,” katanya, baru-baru ini.
Pandemik Covid-19 menunjukkan cabaran besar yang dihadapi oleh Presiden Joko Widodo untuk meningkatkan infrastruktur merentas 5,000 kilometer di seluruh Indonesia.
“Dari segi infrastruktur, Indonesia tidak bersedia sepenuhnya untuk pembelajaran dalam talian,” kata Christina Kristiyani, seorang pakar pendidikan di Universiti Sanata Dharma.
“Kalau boleh sekali pun dibuat secara video masa sebenar, kosnya tinggi di kawasan pedalaman,” tambahnya.

Sementara itu, kebanyakan keluarga di luar bandar bergelut untuk meneruskan hidup.
“Saya hanya boleh ingatkan (anak-anak) untuk belajar kerana saya tidak boleh tolong mereka seperti cikgu,” kata Orlin Giri, seorang ibu dari Nusa Tenggara Timur, antara wilayah termiskin di Indonesia.
Menurut seorang guru Fina, ini kisah yang berulang-ulang di seluruh republik.
“Banyak ibu bapa hanya lulus sekolah rendah atau menengah rendah, atau tidak ke sekolah.
“Dapat menghantar anak ke sekolah pun bagi mereka sudah satu pencapaian luar biasa,” katanya.
Fina tidak dapat mengajar dari rumah ke rumah kerana terpaksa menjaga anak di rumah dan selebihnya kerana tinggal di kawasan yang mengalami jangkitan tinggi Covid-19.
“Pandemik ini mengajar kita walaupun teknologi sangat membantu, ia tidak juga boleh menggantikan guru,” katanya.
Indonesia mengesan lebih 43,000 kes jangkitan Covid-19 dengan lebih 2,300 kematian. Angka itu bagaimanapun dianggap tidak tepat kerana pihak berkuasa Indonesia hanya menjalankan ujian Covid-19 ke atas lebih kurang 600,000 daripada lebih 273 juta penduduknya.
“Saya bosan duduk di rumah,” kata Gratia Ratna Febriani, seorang murid di Kenalan.
“Saya rindu sekolah dan semua kawan dan guru.”
Itu juga perasaan seorang guru Yunedi Sepdiana Sine, yang menziarahi 50 murid dalam seminggu.
“Murid-murid sangat rindukan cikgu, dan saya rasa diperlukan. Itu saja sudah membuatkan saya gembira,” katanya. – AFP, 20 Jun 2020.
Komen