Malaysia sedang bincang dengan 6 negara untuk buka sempadan


Ravin Palanisamy

Malaysia dalam perbincangan dengan Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan untuk membuka semula sempadan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2020.

MALAYSIA dalam perbincangan dengan enam buah negara untuk melonggarkan sekatan sempadan ketika wabak Covid-19 mula menunjukkan tanda-tanda berjaya dikekang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, ini bagi membolehkan sektor perniagaan, pendidikan dan pelancongan antara Malaysia dan enam negara itu dibuka semula.

Negara tersebut adalah Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata mereka masih dalam perbincangan dan akan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bersama dan perjanjian antara negara sebelum sempadan boleh dibuka semula.

“Kita sudah mengenal pasti enam negara tetapi ia masih pada peringkat perbincangan awal untuk memperoleh persetujuan bersama dan SOP kedua-dua pihak,” katanya.

Awal hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat Singapura dan Brunei akan dibenarkan memasuki Malaysia semula tanpa menjalani saringan kesihatan.

Katanya, Malaysia juga berharap kedua-dua negara itu akan membenarkan rakyat Malaysia memasuki negara itu tanpa perlu saringan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata kawalan sempadan masih dikuatkuasa dan kebenaran hanya diberikan kepada pegawai kedutaan dan peserta program Malaysia Rumah Keduaku.

“Rakyat Malaysia yang pulang juga perlu jalani saringan dan kuarantin,” katanya.

Menyentuh isu rakyat Singapura yang mahu memasuki Malaysia, Dr Noor Hisham berkata hanya mereka yang tidak ada perjalanan ke negara lain akan dibenarkan.

“Walaupun Singapura ada jumlah kes Covid-19 yang tinggi, kebanyakannya adalah pekerja asing.

“Kes mereka seperti kita. Ia libatkan pekerja asing. Jumlah kes tinggi kerana pekerja asing.

“Kita tidak akan benarkan pekerja asing masuk, tetapi kita akan benarkan rakyat Singapura yang tidak melawat negara lain,” tambah Dr Noor Hisham. – 19 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen